Rabu, 1 March 2017 | 3:03pm

Operasi bersepadu perangi tayar celup


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai diberi taklimat mengenai tayar celup oleh Pengurus Besar Kanan Jabatan Pensijilan Barangan Sirim QAS International, Basori Selamat sebelum sidang media "Ops Bersepadu Khas Tayar Celup" di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merampas 480 tayar celup komersial bernilai RM247,500 dalam dua Ops Bersepadu Khas Tayar Celup.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata operasi itu dijalankan selepas mengambil kira kebanyakan kemalangan membabitkan kenderaan berat berlaku akibat kegagalan tayar dan pelanggaran serpihan tayar di lebuh raya.

Jelas beliau, berdasarkan maklumat yang diterima daripada PLUS Malaysia Berhad (PLUS) selaku pengendali Lebuhraya Utara Selatan, sebanyak 1,485 kes kemalangan terjadi tahun lalu disebabkan perlanggaran objek di mana 41.3 peratus dari objek berkenaan adalah serpihan tayar.

"Melalui serbuan pertama yang dijalankan pada 23 Februari lalu di Kawasan Perindustrian Bukit Beruntung (Selangor), sebanyak 265 tayar celup disita bersama 1,282 pelekat SIRIM palsu bernilai RM140,000.


DATUK Seri Liow Tiong Lai di sidang media "Ops Bersepadu Khas Tayar Celup" di Putrajaya.

"Serbuan kedua pada 28 Februari lalu di Kawasan Perindustrian Senawang, Negeri Sembilan pula berjaya menyita 215 tayar celup dengan 92 pelekat SIRIM palsu bernilai RM107,500, selain menahan sembilan pekerja warga asing yang kemudiannya diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

"Dalam serbuan itu, kita turut menahan dua warga tempatan yang juga pemilik kilang berkenaan," katanya pada sidang media Ops Bersepadu Khas Tayar Celup di kementeriannya di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron.

Tiong Lai berkata operasi berkenaan juga secara tidak langsung dapat membanteras kegiatan pembuatan tayar celup yang tidak mengikut piawaian.

"Harga tayar celup yang mengikut piawaian dan mempunyai cop SIRIM ialah sekitar RM1,150 manakala bagi tayar celup palsu, harganya 50 peratus lebih rendah iaitu sekitar RM400.

"Operasi bersepadu ini dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen serta SIRIM Berhad," katanya.

Berita Harian X