Rabu, 1 March 2017 | 10:36am

Dua wanita didakwa bunuh warga Korea Utara

SEPANG: Dua wanita warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi atas dakwaan membunuh warga Korea Utara, Kim Chol.

Warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29, dan warga Indonesia, Siti Aishah, 25, kelihatan tenang apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Vietnam dan Indonesia secara berasingan.

Ketibaan kedua-dua tertuduh dikawal ketat oleh pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) manakala Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut dikerah berkawal di perkarangan mahkamah.

Mahkamah mula bersidang kira-kira jam 10 pagi di hadapan Hakim Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai Majistret.

Siti Aishah yang hadir ke mahkamah memakai kemeja-T merah dan seluar jeans biru dibawa masuk ke kandang tertuduh tepat jam 10.03 pagi.

Tiada pengakuan direkodkan sebaik kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa, Saiful Aiman Sawari, dalam Bahasa Indonesia.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siti Aisyah, 25, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 34, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) di Sepang di sini, pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.


Suspek Siti Aishah dan Doan Thi Huong dibawa anggota polis ke Kompleks Mahkamah Sepang untuk pendakwaan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Sementara itu, Doan Thi Houng yang digari dibawa masuk ke kandang mahkamah jam 10.09 pagi.

Mahkamah tidak merekodkan pengakuan daripada tertuduh sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Vietnam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Thi Huong, 29, didakwa bersama empat lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 34, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) di sini, pada jam 9 pagi, 13 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang sabit kesalahan dikenakan hukuman mati mandatori.

Mahkamah menetapkan 13 April ini untuk sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan kimia.

Pihak pendakwaan diwakili Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad.

Siti Aishah diwakili peguam Gooi Soon Seng manakala Thi Huong diwakili peguam S Selvam.

MEDIA tempatan dan asing menunggu tertuduh keluar dari Kompleks Mahkamah Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah
ANGGOTA Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) mengawal di setiap kawasan persekitaran Kompleks Mahkamah Sepang. - Foto Mohd Fadli Hamzah
SUASANA di perkarangan Kompleks Mahkamah Sepang ketika warga media menanti suspek utama dibawa masuk untuk pendakwaan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam. - Foto Fariz Iswadi Ismail
TIMBALAN Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Adreano Erwin hadir ke Kompleks Mahkamah Sepang bagi mengikuti proses pertuduhan suspek utama warga Indonesia, Siti Aisyah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PEGUAM Siti Aishah, Gooi Soon Seng ketika ditanya media mengenai anak guamnya yang menghadapi pertuduhan membunuh Kim Chol, seorang warga Korea Utara, di klia2 pada 13 Feb lepas, di Kompleks Mahkamah Sepang, hari ini.
- Foto BERNAMA
Berita Harian X