Rabu, 1 March 2017 | 12:00am
ZAINAL (kiri), Abdul Kadir Marican (kanan) bersama polis dan pemandu van warga Colombia.

Musafir demi Islam

KUNJUNGAN rombongan dari Malaysia ke Colombia untuk bertemu warga Muslim di sana bertali arus dan setiap pelosok dijelajahi demi menyebarkan agama Allah SWT yang dibawa Rasulullah SAW sebagai rahmat kepada sekalian alam.

Demi memastikan syiar Islam terus berkembang, ahli rombongan terdiri daripada penjawat awam peniaga, kontraktor, petani serta kerjaya lain bersedia mengeluarkan belanja agak besar, selain mengorbankan masa serta cuti bermusafir ke negara Amerika Latin itu.

Pendorong mereka ialah semangat dan kesungguhan ditunjukkan warga tempatan di sana untuk mengetahui, mempelajari serta mendalami Islam, akhirnya mengisytiharkan keimanan mereka kepada Allah SWT yang menguasai dunia serta hari akhirat.

Jika berpeluang bertemu dengan mereka yang pernah menjejakkan kaki di Colombia dan bertemu dengan saudara seagama di sana, kegembiraan terpancar di wajah mereka setiap kali menceritakan pengalaman berjihad demi Islam.

"Ada warga pribumi yang mengucapkan syahadah selepas sering mengintip dan mendengar rintihan suara anggota rombongan pada waktu malam yang sedang bermunajat, memohon supaya Allah SWT memberi hidayah kepada orang setempat," jelas Zainal Hadi Yusof.

Tiada masjid

Beliau yang menyertai rombongan dari Johor Bahru mengunjungi Colombia pada tahun 2014 menceritakan, kebanyakan warga asal Colombia yang memeluk Islam adalah wanita terutama yang tinggal di kawasan pedalaman.

Katanya, rombongan mereka terpaksa menyusuri bukit-bukau dengan jalan tidak berturap dan berdebu dari Medellin untuk ke Quibdo, kawasan pedalaman terletak di Wilayah Choco di barat Colombia untuk melihat sendiri perkembangan Islam di sana.

Demi memudahkan komunikasi berdakwah, Zainal sanggup belajar bahasa Arab kerana bahasa al-Quran itu salah satu bahasa pengantar digunakan di Colombia, selain bahasa Sepanyol hasil daripada penghijrahan orang Arab Lubnan pada tahun 1950-an.

Selain faktor bahasa, pendakwah yang ingin berkelana ke negara terkenal dengan keluaran kopi serta kisah kartel dadah itu perlu bersedia dari segi fizikal juga kerana mengembara ke negara orang ada kala memerlukan lebih kudrat terutama jika terbabit dalam misi dakwah.

Zainal berkata, kebiasaannya, apabila memasuki kawasan pedalaman, mereka akan menyewa homestay beberapa hari dan menganjurkan majlis taklim kepada warga tempatan untuk memberi penjelasan serta penerangan mengenai Islam.

"Tetapi ketika di Quibdo, puas kami mencari masjid, tetapi tidak berjumpa satu pun masjid di sana. Oleh itu, kami melakukan sesi berbual secara santai di bawah pohon berhampiran gereja. Dalam berdakwah, tempat dan masa tidak membataskan usaha menyampaikan walau satu ayat," katanya.

Islam bawah pokok

Sesungguhnya, hidayah Allah SWT boleh datang dengan pelbagai cara dan diberi kepada sesiapa yang diingini-Nya. Oleh itu, rombongan pendakwah tidak terkejut apabila ada yang mengucapkan Lailaha illallah Muhammadar rasulullah di bawah pokok.

Begitu juga ketika mereka pergi ke Cartagena iaitu di pesisiran pantai menghadap Lautan Atlantik dan Laut Caribbean, mereka turut memberi penerangan kepada pemuda pribumi yang menunjukkan minat untuk mengetahui mengenai agama Islam.

Seorang warga Colombia yang bertindak sebagai penjaga masjid dan imam sementara di Masjid Abu Bakar, Cartagena, menjadikan masjid lokasi untuk menjamu makanan kepada remaja yang kebanyakan adalah golongan gelandangan sambil berdakwah.

Zainal berkata, menyebar salam, menjamu makan dan menyampaikan kalam dakwah adalah amalan yang dianjurkan Rasulullah SAW dan tradisi itu menjadi ikutan pendakwah untuk memulakan perkenalan seterusnya menjalin silaturahim.

Justeru, katanya, mereka yang terbabit dengan misi dakwah khususnya di luar negara perlu bersedia untuk mengeluarkan belanja yang banyak bagi menampung kos perjalanan, penginapan serta menjamu kumpulan sasar dalam majlis yang dianjurkan.

Tidak lemah semangat

Kesungguhan rombongan Malaysia menyebar salam di Colombia, memberi impak besar kepada warga setempat. Kesediaan masyarakat tempatan membantu rombongan luar berkunjung ke Colombia juga menjadi faktor semarak gelombang hidayah di negara itu.

Segala kesusahan yang ditempuhi sepanjang perjalanan, sama ada mengguna kenderaan darat mahupun udara, sedikitpun tidak melemahkan semangat anggota rombongan untuk berdakwah bagi meneruskan usaha dilaksanakan Baginda SAW, sahabat serta pendakwah terdahulu.

Jurang bahasa dan khabar mengenai keganasan yang dicetus oleh anggota pengganas kartel dadah juga tidak membantutkan keinginan rombongan dakwah berkunjung ke beberapa bandar raya dan kawasan pedalaman di Colombia.

Abu Umamah Bahili meriwayatkan, Nabi Muhammad SAW bersabda: "Sesungguhnya sesiapa yang wajahnya terkena debu di jalan Allah, maka pasti Allah akan memelihara wajahnya itu (daripada api neraka) pada hari kiamat. Dan sesiapa yang kedua-dua kakinya terkena debu di jalan Allah, maka pasti Allah akan memelihara kedua-dua kakinya itu daripada neraka pada hari kiamat." (Riwayat Baihaqi)

INFO

Bandar Quibdo

- Terletak agak terpencil berhampiran Sungai Atrato di Colombia.

- Salah satu bandar terbesar di Colombia, kira-kira 25 minit menaiki pesawat dari Medellin.

- Walaupun Quibdo sebuah bandar besar mengikut piawaian Colombia, hanya pusat bandarnya mempunyai bangunan konkrit dan jalan berturap.

- Kebanyakan orang di bandar tinggal di pondok yang diperbuat daripada kayu atau besi.

Sejarah Quibdo.

- Dikesan pada tahun 1648 apabila kumpulan Franciscan yang menganut Katolik diberi tanah oleh Embera India tetapi kehadiran penganut Katolik ditentang oleh India lain yang memusnahkan bandar itu pada 1650.

- Quibdo telah dibina semula pada tahun 1654 oleh oleh Pedro Caceres dan Francisco de Orta. Pada Februari 1813, Quibdo mengisytiharkan bebas daripada Sepanyol.

- Pada tahun 1825, ia telah ditukar nama San Francisco de Quibdo. Pada tahun 1948, kerajaan Colombia menubuhkan wilayah Choco dan dinamakan Quibdo sebagai ibu di rantau itu.

16 dibaca
Berita Harian X