Isnin, 25 Ogos 2014 | 5:49pm
Mario Balotelli (kiri) dan Daniel Sturridge

Sturridge-Balotteli sama penting lonjak Liverpool - Rodgers

LIVERPOOL: Brendan Rodgers melabelkan Mario Balotelli dan Daniel Sturridge mampu menjelmakan diri masing-masing sebagai 'gandingan pemusnah' musim ini.

Pengurus Liverpool tidak menyembunyikan hasratnya untuk melihat dua pemain ini mengulangi ledakan padu seperti mana ditonjolkan Luis Suarez dan Sturridge, musim lalu.

Kehadiran Balotelli harus mencipta satu ancaman baru dengan perpindahannya dari AC Milan bernilai STG16 juta (RM80 juta) yang dijangka diketahui dalam tempoh 24 jam lagi.

"Saya sudah berkata secara berulang kali Daniel adalah satu bakat besar. Tapi kami memerlukan lebih daripada satu bakat di kelab. Dia pemain penting untuk kami dan hakikat itu akan kekal," kata Rodgers.

"Jika anda pemain ternama dan anda melihat kepada kehadiran seorang lagi pemain ternama, anda akan tertanya pada diri "dia dapat bantu kami."

"Ingat, kita juga akan melalui tempoh kecederaan pada bila-bila masa dan Daniel pernah tercedera beberapa minggu sebelum ini. Jadi saya harus pastikan saya ada pemain gantian jika kedua-dua pemain ini tidak dapat beraksi pada masa yang sama."

Rodgers terus memberi jaminan kuat kepada Sturridge dia tetap aset pasukan sejak bicara mengenai perpindahan Balotelli menjadi hangat sejak hampir seminggu lalu.

Dia menambah Liverpool menghargai sumbangan penyerang England itu membantu pasukan layak ke Liga juara-Juara dan percaya Sturridge-Balotelli boleh membuka episod baru kepada kelab untuk cuba menawan semula Eropah. - Mail Online

Berita Harian X