Selasa, 28 Februari 2017 | 11:48pm

Istiadat Kerjan Undang Luak Johol 5 hari 5 malam


UNDANG Johol ke 15, Datuk Muhammad Abdullah bersama media pada malam 'Sentuhan KAsih Luak Johol' di Allson Klana Seremban. - Foto Hasriyasyah Sabudin

SEREMBAN: Balai Undang Luak Johol akan menganjurkan istiadat 'Kerjan' untuk memperkenalkan secara rasmi Undang luak ke-15, Datuk Muhammad Abdullah, yang dilantik akhir tahun lalu.

Muhammad berkata, majlis adat selama lima hari bermula 23 Mac itu diatur dengan pelbagai program bagi membolehkan beliau mendekati dan meraikan rakyat di bawah jajahannya.

"Antara program yang akan diadakan adalah jamuan bersama rakyat, selain pelbagai upacara adat berkaitan dengan pertabalan saya sebagai Undang yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis malam sentuhan kasih Luak Johol bersama media Negeri Sembilan, di sini, malam ini.

Muhammad dimasyhurkan sebagai Undang Luak Johol, menggantikan Datuk Mohd Jan Abdul Ghani, yang dilucutkan jawatan pada 27 Mac tahun lalu kerana didakwa melakukan 13 kesalahan salah laku dan adat.

Pelantikan Muhammad disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan pada 7 Oktober tahun lalu sebelum menghadiri Istiadat Menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bagi menyempurnakan pelantikannya pada 15 Disember lalu.

Dalam struktur pemerintahan beraja di Negeri Sembilan, institusi Undang Yang Empat, iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu, Undang Luak Johol dan Undang Luak Rembau serta Tunku Besar Tampin, mempunyai fungsi kuasa mutlak di luak atau kawasan masing-masing.

Undang Yang Empat juga bertanggungjawab melantik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Berita Harian X