Selasa, 28 Februari 2017 | 11:30pm
PEMAIN Pahang FA, Mohamad Ashari Samsudin (kanan) mengawal bola ketika menentang PKNS dalam saingan Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PEMAIN PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh (kanan) diasak pemain Pahang FA, Jaewon Heo dalam saingan Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Semut Merah merana dipijak Tok Gajah

KUANTAN: Skuad Pahang meneruskan rentak cemerlang di laman sendiri apabila mudah mengatasi PKNS FC, 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, di sini, yang berakhir sebentar tadi.

Prestasi skuad kendalian Dollah Salleh sudah dapat dijangkakan sebaik perlawanan bermula dengan beberapa percubaan berbahaya.

Hasilnya pada minit ke-12, pemain pertahanan, Mohd Afif Amiruddin menjaringkan gol pendahuluan selepas menerima hantaran daripada Joseph Kalang Tie.

Skuad Semut Merah yang jarang melakukan asakan ke kubu tuan rumah turut memperoleh peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi bola tendangan Lucas Sebastian sedikit tersasar pada minit ke-18.

Pada minit ke-28, pemain import kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh cuba untuk menembusi pertahanan tetapi lawan lebih bersedia dan keputusan kekal 1-0 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, tuan rumah terus melancarkan serangan bertali arus dan akhirnya gol kedua diraih skuad Tok Gajah menerusi Matheus Alves yang mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas Sumareh dijatuhkan pada minit ke-57.

Pada minit ke-69, pemain tengah tuan rumah, Ashari Samsudin menambah derita lawan apabila menjaringkan gol ketiga buat skuad Tok Gajah.

Skuad kendalian E Elavarasan yang ketinggalan 0-3 berusaha untuk mengurangkan defisit gol tetapi barisan pertahanan yang diketuai kapten, Matthew Davies berjaya mempertahankan gawang daripada dibolosi.

Akhirnya, PKNS FC terpaksa akur mereka gagal untuk menyekat Pahang memungut tiga mata yang juga kekalahan kedua berturut-turut buat skuad Elavarasan.

Bagi Pahang pula, mereka mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri apabila sebelum ini menang 5-0 ke atas T-Team dan Pulau Pinang (6-1).

Berita Harian X