Selasa, 28 Februari 2017 | 9:33pm

Dewina unjur sumbangan tinggi pendapatan luar negara

KUALA LUMPUR: Dewina Holdings Sdn Bhd, pengeluar makanan hidangan sedia dimakan (MRE) jenama Brahim's, yakin sumbangan pendapatan luar negaranya akan melonjak dengan kerjasama syarikat Arab Saudi.

Ketua Pegawai Operasi, Datuk Paduka Feizal Nor Nurbi, berkata kerjasama kali pertama ini bakal mengembangkan penerokaannya dalam industri pengeluaran makanan halal ke pasaran Arab Saudi.

Feizal berkata, dalam keadaan ekonomi yang suram kini, kerjasama ini adalah langkah terbaik syarikat Bumiputra mencari pelaburan luar negara.

"Pasaran Arab Saudi sangat besar terutama berkaitan dengan produk makanan halal. Secara kasarnya 10 peratus pasaran di Arab Saudi bersamaan dengan 90 peratus pasaran di Malaysia.

"Jadi kerjasama ini adalah platform untuk syarikat berkembang dan menjadi peneraju utama dalam mengeluarkan produk makanan halal di dunia," katanya selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Ghazzawi Business Group di sini, hari ini.

Feizal berkata, nilai pelaburan kerjasama itu akan ditentukan separuh pertama tahun ini kerana pihaknya masih menilai pasaran yang ingin diteroka di Arab Saudi.

Syarikat merancang untuk meneroka dalam dua bidang pelaburan iaitu memasarkan produk MRE dan katering industri.

"Kami mesti menggunakan strategi yang tepat agar kemasukan pelaburan syarikat akan memberikan impak di dalam pasaran makanan di Arab Saudi.

"Jadi perancangan serta kajian sektor dan pelaburan yang terperinci adalah penting buat ketika ini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama itu, Feizal berkata ketika ini industri katering di Arab Saudi lebih kepada konsep katering tradisional, dan seiring dengan visi Arab Saudi 2030, negara itu mahukan kemasukan produk makanan halal yang pelbagai menggunakan teknologi pembuatan yang terkini.

Katanya, Arab Saudi mahukan pembaharuan yang besar dalam industri makanan mereka, lantaran itu membuka peluang kepada syarikat luar negara untuk bekerjasama menaikkan lagi ekonomi negara itu.

18 dibaca
Berita Harian X