Selasa, 28 Februari 2017 | 8:08pm

Langgi akui kekok lakon watak bapa sendiri


LANGGI, yang julung kali menceburi bidang lakonan, mengakui beliau berasa kekok untuk membawakan watak bapa sendiri dalam filem berjudul Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior itu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

KUALA LUMPUR: Selepas beberapa kali menolak tawaran melakonkan watak mendiang bapanya, Langgi Anak Kanang, 36, akhirnya bersetuju melakukannya demi insan yang disayanginya.

Langgi, yang julung kali menceburi bidang lakonan, mengakui beliau berasa kekok untuk membawakan watak bapa sendiri dalam filem berjudul Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior itu.

Biarpun cukup mengenali mendiang bapanya, selain memiliki wajah seiras, Langgi berkata, tanggungjawab yang diletakkan di bahunya itu cukup berat.

"Memang betul beberapa kali saya menolak tawaran daripada penerbit dan pengarah untuk berlakon dalam filem ini kerana saya bukannya pelakon. Walaupun rapat dengan mendiang, tetapi saya tidak pernah melihat perwatakannya ketika berperang di hutan. Memang saya takut untuk melakonkan watak itu.

"Saya tahu, penerbit dan pengarah bersusah payah mengadakan uji bakat untuk mendapatkan watak lelaki utama daripada kaum Iban yang seiras mendiang, malah saya sendiri tidak berani untuk pergi menawarkan diri.

"Ketika saya menghantar abang Zainal Fikri (penerbit) untuk pulang ke Semenanjung, dia tetap memujuk. Akhirnya saya tewas apabila dia meminta saya melakukannya demi mendiang bapa," katanya yang ditemui BH Online di ibu negara, hari ini.

Langgi yang berkhidmat selama 18 tahun sebagai tentera di Kem Penrissen Batu 8, Kuching, Sarawak, hadir bagi menyaksikan tayangan perdana filem itu, malam ini.

Filem aksi arahan Bade Azmi terbitan Tangan Seni Productions itu akan ditayangkan di seluruh negara bermula 16 Mac depan.

Selain Langgi, filem berkenaan turut membariskan dibarisi pelakon hebat lain seperti Adi Putra, Johan As'ari, Adam Shahz dan ramai lagi.

Berita Harian X