Selasa, 28 Februari 2017 | 7:49pm

Cub Prix : Tengku Amirul tekad rampas kejuaraan


Tengku Amirul Haffirudin. -Foto Owee Ah Chun.

KUALA LUMPUR: Tengku Amirul Haffirudin bertekad menebus kesilapannya terlepas gelaran keseluruhan kelas CP115 pada kempen Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2016.

Tahun lalu, pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu menjadi pilihan utama untuk meraih gelaran, namun pemburuannya tidak kesampaian apabila trofi kejuaraan diidamkan terlepas ke tangan Mohd Akid Aziz.

Justeru untuk musim ini yang dijadual membuka tirainya di Temerloh, Pahang pada 4 dan 5 Mac ini, Tengku Amirul nekad untuk kekal dalam kelas berkenaan dan memperbaiki kesilapan dilakukannya musim lalu.

Namun, Tengku Amirul yang hanya meraih tangga ketiga keseluruhan musim lalu berdepan laluan sukar apabila sekali lagi perlu mengatasi Akid dan naib juara, Mohd Haziq Fairues (PETRONAS Yamaha Maju Motor) - yang turut kekal beraksi dalam kelas berkenaan.

Mengulas mengenai 'ulangan' persaingan antara mereka kali ini, Tengku Amirul berkata: "Situasi ini jarang berlaku dalam kelas CP115.

"Selalunya juara akan beralih ke kelas perdana pada musim berikutnya namun disebabkan pengenalan kategori CP150 pada tahun ini, kebanyakan pasukan memilih untuk menggunakan pelumba yang lebih berpengalaman.

"Jadi ia juga adalah antara sebab kenapa saya, Akid dan Haziq kekal dalam kelas CP115. "

Berita Harian X