Selasa, 28 Februari 2017 | 6:29pm

Tedung selar kejar biawak ditangkap


KETUA Operasi APM Padang Terap, Abdul Satar Abdullah (depan) dan dua anggota menunjukkan ular tedung selar sepanjang tiga meter yang ditangkap di Sekolah Menengah Naka, petang semalam. - Foto Zuliaty zulkifli

PADANG TERAP: Kehadiran seekor biawak yang berkeliaran di kawasan pagar Sekolah Menengah (SM) Naka dekat sini, petang semalam membongkar kewujudan seekor ular jenis tedung selar sepanjang kira-kira tiga meter.

Tedung selar berkenaan dipercayai datang dari kawasan kebun getah berhampiran dipercayai untuk mencari makanan, sebelum terserempak dengan biawak dan mengejarnya.

Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Padang Terap, Abdul Satar Abdullah, berkata kehadiran tedung selar itu disedari tukang kebun sekolah selepas melihat ular berkenaan menyorok di kawasan timbunan sampah.

"Tukang kebun yang bimbang dengan kehadiran tedung selar itu membakar longgokan sampah terbabit untuk menghalau ular berkenaan, namun reptilia itu tetap berada di kawasan itu.

"Bimbang dengan keadaan itu, tukang kebun itu terus menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan," katanya.

Abdul Satar berkata, sejurus menerima panggilan jam 5.15 petang, tiga anggota dikejarkan ke lokasi untuk menangkap ular berkenaan.

"Pada mulanya kami mengalami kesukaran untuk mengesan ular itu di sebalik lubang pada bawah longgokan sampah sehingga terpaksa mengumpannya keluar... kami mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan ular itu dan menangkapnya dengan menggunakan penjerut.

"Ular yang ditangkap itu kemudian dibawa ke pejabat kami untuk disimpan sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Abdul Satar berkata, ular tedung selar berkenaan adalah yang terbesar pernah ditangkap pihaknya setakat ini.

"Sepanjang tahun ini, APM Padang Terap sudah menangkap lebih 70 ular pelbagai spesis termasuk ular sawa, senduk, sawa burung dan lain-lain lagi," katanya.

Berita Harian X