Selasa, 28 Februari 2017 | 3:56pm

Anak tukang kebun, buruh raih keputusan cemerlang


CRYSTALIENA dan Mohamad Feklee menunjukkan keputusan cemerlang yang diperolehi dalam STPM 2016. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Anak pasangan tukang kebun, Crystaliena Janis meraih keputusan cemerlang dengan pencapaian Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.92 dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang diumumkan hari ini.

Crystaliena, 21, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Pangiran Galpam di sini, adalah antara 17 pelajar daripada 196 calon STPM di sekolah terbabit yang mendapat keputusan PNGK di atas 3.50.

Anak bongsu daripada dua beradik itu mendapat A dalam Pengajian Am, Bahasa Melayu dan Sains Sukan, manakala A- dalam subjek Sejarah.

Ketika ditemui BH, Crysaliena berkata, kegagalan memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dua tahun lalu mendorongnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Katanya, dorongan itu juga disebabkan kemiskinan keluarga dengan kedua-dua ibu bapanya berasal dari Kampung Inarad, Tongod di pedalaman Sabah yang tiada jaringan perhubungan jalan raya.

"Asal usul ibu bapa menaikkan lagi semangat saya untuk belajar, selain dorongan guru dan keluarga. Dengan kejayaan ini, saya merancang melanjutkan pengajian ke universiti dalam bidang pendidikan.

"Saya mahu jadi guru untuk mengubah nasib keluarga dan menjadi contoh kepada saudara-mara lain di kampung," katanya.

Sementara itu, anak buruh, Mohamad Feklee Roslee, 20, dari Kampung Sim-Sim yang mendapat 3.92 PNGK berkata, selain faktor keluarga, kejayaannya adalah hasil dorongan guru dan ketekunan mengulang kaji pelajaran.

"Saya berharap keputusan ini membolehkan saya menyambung pengajian dalam bidang perniagaan," katanya.

Dalam keputusan STPM yang diumumkan hari ini, 31 daripada 6,361 calon di Sabah memperoleh PNGK 4.00 berbanding 12 pelajar pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah itu, 6,244 calon atau 98.16 peratus lulus penuh dalam peperiksaan berkenaan dengan peningkatan GPNK 0.07, iaitu 2.58 berbanding 2.51 pada 2015.

Berita Harian X