Selasa, 28 Februari 2017 | 3:36pm
PELAKON utama filem KL Wangan (dari kiri) Kazuto Soon, Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, Emily Lim dan Jasmine Suraya. - Foto Saifullizan Tamadi

Pekin utama kebajikan pekerja di set KL Wangan


PEKIN Ibrahim di lokasi penggambaran filem KL Wangan. - Foto Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Pengarah dan pelakon, Pekin Ibrahim, berhasrat mengembalikan suasana bekerja dalam produksi besar dengan bayaran dan layanan cukup baik diberikan kepada pelakon serta petugas.

Katanya, ia secara tidak langsung akan memberikan kepuasan kepada semua pihak terbabit, sekali gus membantu mereka menghasilkan produk terbaik.

"Saya rindukan suasana bekerja dalam produksi filem besar. Sebagai contoh, apabila berada di lokasi, ia seperti ada sesuatu yang serius berlaku dengan beberapa khemah didirikan, deretan lori dan sekumpulan kru yang sibuk membuat persiapan penggambaran.

"Paling penting, bayaran diberikan kepada pelakon sehinggalah kepada kru mampu menerbitkan senyuman di bibir mereka. Ketika itu, barulah masing-masing bersemangat hendak bekerja.


ANTARA babak penggambaran filem KL Wangan. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Suasananya berbeza ketika ini, dengan penggambaran filem dilakukan seperti mahu menghasilkan drama. Justeru, saya mahu cuba mengembalikan konsep bekerja seperti itu," katanya kepada BH Online.

Menurut Pekin, beliau faham keadaan ekonomi yang tidak menentu mungkin menyebabkan situasi sebegitu tidak dapat dielakkan.

Kata Pekin, sebagai percubaan, beliau berusaha menyediakan kebajikan yang baik untuk tenaga produksi menerusi filem arahannya, KL Wangan. Filem itu diterbitkan syarikat produksi Centro Pictures, miliknya bersama beberapa teman.

"Alhamdulillah, saya bekerja di kalangan rakan sendiri dalam KL Wangan, jadi kita berkongsi rezeki bersama-sama. Setakat ini, pihak kru mahupun barisan pelakon berpuas hati dengan kebajikan yang dijaga. Lagipun, filem ini memang perlukan pelaburan besar kerana ia adalah daripada genre aksi. Saya pun bukanlah menyediakan produksi yang 'meletup', cuma selesa.


ANTARA krew filem KL Wangan di lokasi penggambaran. - Foto Saifullizan Tamadi

"Saya tahu bagaimana rasanya apabila kita ditawarkan dengan harga yang rendah. Mahu atau tidak, kadang-kala kita perlu ambil bagi mengisi poket. Jadi, saya tak mahu perkara itu berlaku. Andai kata bajet sesebuah filem yang disediakan tidak besar, bagi saya, biarlah kita dahulukan mana yang penting," ujarnya.

KL Wangan yang bermaksud perlumbaan malam ialah sebuah naskhah mengenai kelajuan dan keberanian, yang disulami dengan dendam serta pengkhianatan. Ia juga turut dipenuhi babak lasak pemanduan kereta dalam 'mood' kelajuan yang pantas.

Antara pelakon yang membintangi filem itu termasuk Faizal Hussein, Emily Lim, Kazuto San dan Pekin sendiri.

13 dibaca
Berita Harian X