Selasa, 28 Februari 2017 | 2:47pm

Mah Sing catat untung bersih RM361.4j

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd mencatat untung bersih RM361.4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, susut 6.5 peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya.

Ia disebabkan terutamanya oleh pengecaman laba nilai saksama ke atas pelaburan hartanah Star Avenue, bernilai RM29.5 juta pada 2015, selain pembelian semula bon terjamin boleh tebus (CB) bernilai RM315 juta pada pertimbangan tunai RM337.1 juta pada 2016.

Pada tahun itu, kumpulan itu meraih pendapatan RM3 bilion, mewakili penyusutan 4.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Penyusutan pendapatan itu disebabkan terutama oleh sumbangan lebih rendah daripada M City di Jalan Ampang dan Icon City di Petaling Jaya yang berada di pengakhiran pembangunannya pada 2016, demikian menurut kumpulan hartanah itu dalam kenyataan hari ini.

Kumpulan itu mencatat untung bersih RM85.6 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2016, susut berbanding RM112.9 juta yang dicatat suku sama tahun sebelumnya disebabkan pengecaman pendapatan nilai saksama ke atas pelaburan hartanah bernilai RM29.5 juta pada 2015 itu.

Pendapatan pada suku terakhir itu berjumlah RM742.2 juta.

Pengarah Urusannya, Tan Sri Leong Hoy Kum, berkata berpegang teguh pada pengurusan kewangan berdisiplin, kumpulan itu memiliki tunai tinggi bernilai kira-kira RM923.8 juta dan gearan bersih rendah pada 0.02 kali setakat 31 Disember 2016.

Gearan rendah itu, katanya, berada di bawah sasaran dalaman 0.5 kali.

Beliau berkata, tahun ini dijangka menyaksikan peringkat akhir pembilan ke atas penyerahan hartanah berjumlah sekitar RM607 juta, yang akan meningkatkan lagi kedudukan tunai kumpulan.

"Kami akan memanfaatkan prestasi kewangan ini untuk mendapatkan simpanan tanah baharu dan strategik kedudukannya bersesuaian dengan model perniagaan kami.

"Simpanan tunai kami dan tahap hutang bersih yang rendah membolehkan kami meninjau potensi pengambilan tanah, usaha sama dan pelaburan.

"Tumpuan kami terutama di Greater Kuala Lumpur, tetapi kami turut terbuka kepada lokasi pertumbuhan tinggi lain di Malaysia," katanya.

Bagi tahun baharu berakhir, pendapatan daripada pembangunan hartanah ialah sekitar RM2.6 bilion dan keuntungan operasi sekitar RM469.9 juta.

Keuntungan operasi itu mewakili peningkatan 2.6 peratus disebabkan terutamanya oleh perbelanjaan jualan, pemasaran dan pentadbiran yang lebih rendah.

Bagi tahun ini, Mah Sing Group akan terus mengguna pakai pendekatan strategik dengan tumpuan kepada kediaman yang dijual pada harga RM700,000 dan ke bawah.

Berita Harian X