Selasa, 28 Februari 2017 | 1:38pm

Peratusan PNGK bagi STPM 2016 meningkat

JOHOR BAHRU: Seramai 3,724 daripada 4,830 atau 92.92 peratus calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sekolah kerajaan di Johor lulus penuh peperiksaan berkenaan.


TIMBALAN Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan.

Timbalan Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan, berkata pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.33 peratus berbanding 75.78 peratus lulus penuh tahun 2015.

Katanya, sebanyak 19 sekolah mencatatkan pencapaian lulus 100 peratus, manakala 89 pelajar atau 1.84 peratus mendapat A dalam semua mata pelajaran yang bersamaan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

"Jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 0.83 berbanding 50 orang atau 1.01 peratus calon pada tahun 2015. Sebanyak 51 sekolah menunjukkan peningkatan PNGK antara 0.01 hingga 0.53 mata.

"Lima sekolah yang PNGKnya meningkat baik ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sultan Ibrahim; SMK Sultan Ismail; SMK Sri Kukup, Pontian; SMK (P) Temenggong Ibrahim, Batu Pahat; dan SMK Taman Johor Jaya 1.

"SMK Bandar Tenggara, Kulai pula mencatatkan bilangan peningkatan PGNK tertinggi di negeri ini dengan enam daripada calonnya mendapat PGNK 4.0," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan STPM 2016 negeri, sebentar tadi.


PELAJAR Sekolah Seri Putera, Ipoh yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia. - Foto Effendy Rashid

Di Perak, seramai 68 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran, peningkatan 0.45 peratus berbanding 49 orang pada tahun 2015.

Timbalan Pengarah Pendidikan Perak, Rosli Ahmad berkata, 4,083 calon pula mendapat keputusan lulus penuh iaitu merangkumi 98.79 peratus daripada keseluruhan 4,133 calon yang mengambil peperiksaan berkenaan tahun lalu.

"Pencapaian lulus penuh ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.37 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya pada sidang media di Jabatan Pendidikan Perak di Ipoh, hari ini.

Sebanyak 41 sekolah mencatatkan pencapaian lulus penuh 100 peratus dengan 20 sekolah adalah sekolah sama yang mencatat pencapaian serupa pada tahun 2015.

Katanya, seramai 1,618 calon pula mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) antara 3.0 hingga 4.0 berbanding 1,335 calon pada tahun sebelumnya.

"Ini bermakna berlaku lonjakan pencapaian daripada 32.43 peratus pada 2015 kepada 39.15 peratus tahun lalu," katanya.

Di Kelantan, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Kota Bharu dan SMK Sultan Ibrahim 2, Pasir Mas, terpilih sebagai 10 terbaik di peringkat nasional bagi keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016.

Kedua-dua sekolah terbabit masing-masing memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.29 dan 3.24.

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri, Muhamad Zahari Othman, berkata keputusan STPM 2016 itu terbaik sejak enam tahun lalu.

"Seramai 3,564 calon menduduki peperiksaan itu dan pencapaian PNGK bagi calon Sekolah Bantuan Kerajaan ialah 2.81 berbanding 2.74 pada tahun sebelumnya, sekali gus menunjukkan peningkatan 0.08.

"Peratus kelulusan keseluruhan STPM 2016 ialah 99.05 atau 3,530 calon berbanding tahun 2015 iaitu 98.26 peratus atau 3,447 calon, iaitu peningkatan 0.76 peratus," katanya dalam sidang media, hari ini.

Di Pahang, 2,461 daripada 2,611 calonnya atau 99.47 peratus lulus penuh, mengatasi 98.54 peratus pencapaian peringkat nasional bagi kelulusan penuh.

Pengarah Pendidikan Pahang, Datuk Rosdi Ismail, berkata 39 daripada 49 sekolah mencapai prestasi lulus 100 peratus, meningkat berbanding 33 sekolah pada 2015.

Beliau berkata, seramai 51 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran yang bersamaan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00, juga meningkat berbanding 21 calon pada 2015.

"Jumlah calon yang memperoleh keputusan yang baik iaitu PNGK 3.00 ke atas ialah seramai 1,100 calon atau 44.64 peratus, meningkat 4.24 peratus berbanding 870 calon atau 40.22 peratus pada tahun sebelumnya.

"Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dong di Raub pula dianugerahkan sebagai Sekolah Terbaik STPM 2016 Peringkat Kebangsaan (Kategori Luar Bandar) oleh Majlis Peperiksaan Malaysia dua tahun berturut-turut.

"Malah, 37 daripada 47 calon STPM di SMK Dong memperoleh PNGK melebihi 3.00 dan bakinya pula lulus dalam semua mata pelajaran yang diambil," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Di Terengganu, negeri itu meneruskan kecemerlangan dalam bidang pendidikan apabila 39 daripada 47 sekolah menengah gred minimum PNGK lebih daripada 2.80 ke atas, berbanding 32 sekolah pada tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, jumlah pelajar yang memperoleh keputusan semua A juga meningkat kepada 55 atau 2.44 peratus berbanding 35 atau 1.83 peratus tahun lalu.

"Seramai 15 pelajar memperoleh keputusan A penuh,: katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Intan Zaharah, Dungun, tengah hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Roslee Daud dan Pegawai Pembangunan Dungun, Datuk Din Adam.

Ahmad Razif berkata, 2,248 calon (99.73 peratus) memperoleh keputusan lulus penuh berbanding 1,907 (99.63 peratus) pada tahun 2015.

"Alhamdulillah, prestasi pelajar amat cemerlang kerana Terengganu berjaya mencapai minimum PNGK 2.85 terbaik di peringkat kebangsaan tiga tahun berturut-turut, mengatasi minimum PNGK 2.71 yang ditetapkan di peringkat nasional," katanya.

Menurutnya, keputusan PNGK sekolah di kawasan bandar Terengganu adalah 2.84 manakala di luar bandar 2.85.

Di Pulau Pinang, 44 calon mencapai keputusan cemerlang PGNK 4.00, kata Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP), Mohd Jamil Mohamed, hari ini.

Katanya, daripada 2,285 calon tahun lalu, 2,282 daripadanya memperoleh satu hingga lima prinsipal serta layak mendapat sijil.

"Secara keseluruhannya, STPM kali ini lebih baik berbanding tahun lalu di mana 18 daripada 38 sekolah mencapai keputusan 100 peratus," katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jit Sin, di Bukit Mertajam, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Mohd Jamil berkata, seorang calon berkeperluan khas (braille) dari negeri ini, Chow Sui Teng dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan St George turut memperoleh keputusan PGNK 4.00.

Di Negeri Sembilan, 1,394 daripada 1,435 atau 97.1 peratus calon STPM tahun lalu, mencatatkan keputusan lulus penuh.

Pengarah Pendidikan negeri, Rusni Ab Jalil, berkata keputusan itu menurun 0.4 peratus berbanding 2015, iaitu sebanyak 97.5 peratus tetapi bilangan calon memperoleh PNGK 4.0 meningkat kepada 1.12 peratus berbanding 0.67 peratus pada tahun sebelumnya.

"Seramai 16 calon mendapat A dalam semua mata pelajaran atau PNGK 4.0 iaitu tujuh daripada mereka dari aliran Sains dan sembilan dari Sastera," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, enam daripada calon berkenaan adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul, manakala baki dari SMK King George V, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd Said, SMK Seri Ampangan, SMK Mantin, SMK Tuanku Muhammad, SMK Batu Kikir dan SMK Dato' Mohd Taha.

Di Melaka, 26 dari 1,271 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2016 negeri ini memperoleh PNGK 4.00.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Mohd Rashid Mohd Sidek, berkata bilangan itu menurun berbanding 28 calon mendapat keputusan sama pada 2015.

Katanya, 1,271 atau 98.68 peratus calon STPM memperoleh lulus penuh, termasuk 502 calon yang mendapat PNGK 3.00 ke atas, berbanding 1,245 atau 98.65 peratus pada tahun 2015, membabitkan 17 sekolah.

"Daripada 17 sekolah itu, 10 daripadanya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah; SMK Tinggi Melaka; SMK Gajah Berang; SMK Yok Bin; SMK St Francis; SMK Seri Kota; SMK Agama Sultan Muhammad; SMK Seri Tanjung; SMK Tun Tuah dan SMK Pulang Sebang yang membabitkan 26 calon memperoleh PNGK 4.00," katanya pada sidang media di Jabatan Pendidikan Melaka, Bukit Baru, hari ini.

Mohd Rashid berkata, Gred Purata Negeri pula adalah sebanyak 2.74.

Di Selangor, 48 dari 4498 calon STPM 2016 memperoleh PNGK 4.00, meningkat 8 orang berbanding hanya 40 pada tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Mohd Salleh Kassim berkata, seramai 4,410 atau 98.04 peratus calon STPM memperoleh lulus penuh berbanding 4,109 calon atau 96.77 peratus pada tahun 2015, membabitkan 58 buah sekolah.

"Daripada 58 buah sekolah itu, sekolah terbaik STPM tahun ini masih kekal milik Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) dengan Gred Purata (GP) Sekolah 3.35, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Katholik dengan 3.23; SMK Tinggi Klang (3.12); SMK Batu Lapan (3.06); SMK Yu Hua (2.97) dan SMK Seri Desa (2.91)," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, lima calon berkeperluan khas dari lima sekolah di negeri itu turut cemerlang iaitu Yunus Muhammad Raja (SMK Seksyen 24); Muhammad Fithri Sjamsuddin (SMK Tinggi Klang); Jesson Liew (SMK Batu Lapan); Ameer Hakimy Zulkifli (SMK Bandar Baru Salak Tinggi) dan Len Shan Yi (SMJK Katholik).

"Sebanyak 26 sekolah lulus 100 peratus berbanding hanya 20 sekolah pada STPM 2015. Gred Purata negeri pula adalah sebanyak 2.66," katanya.

Berita Harian X