Selasa, 28 Februari 2017 | 12:08pm

13 Mac sebutan semula kes bot pelancong karam


PEMILIK bot jenis katamaran yang karam di perairan Pulau Mengalum, Leong Vin Jee (kiri) diiringi ahli keluarganya di Mahkamah Kota Kinabalu. - Foto Malai Rosmah Tuah

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret Kota Kinabalu sebentar tadi menetapkan 13 Mac ini bagi sebutan semula kes pemilik bot katamaran yang terbabit dalam tragedi bot pelancong karam di perairan Pulau Mengalum pada 28 Januari lalu.

Majistret Stephanie Sherron Abbie menetapkan tarikh itu selepas mengambil kira rayuan Timbalan Pendakwa raya, Umar Faiz yang meminta tempoh sementara menunggu arahan untuk memindahkan kes itu ke mahkamah pelancongan.

Tertuduh, Leong Vin Jee, 44, didakwa membawa pelancong menggunakan pengangkutan air yang tidak selamat, mengetahui bahawa botnya membawa lebih kapasiti iaitu 12 penumpang dengan memuatkan 28 pelancong China di jeti Kampung Tanjung Aru Lama di sini, pada 28 Januari lalu.

Bot terbabit yang turut membawa seorang juragan dan dua kru karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum menyebabkan empat maut, manakala lima lagi masih hilang.

Vin Jee sebelum ini mengaku tidak bersalah dan dikenakan jaminan RM5,000.

Berita Harian X