Isnin, 27 Februari 2017 | 9:18pm

Main lagu Selamat Tinggal sebelum meninggal


MOTOSIKAL Suzuki LC yang ditunggang mangsa, Muhammad Farhan Shoib (gambar kecil) bersama rakannya.

SABAK BERNAM: Pilihan lagu bertajuk 'Selamat Tinggal' yang dimainkan oleh seorang pelajar di dalam satu majlis di sekolah ibarat petanda beliau akan meninggal dunia.

Abang mangsa, Faiz Shoib, 21, berkata adiknya, Muhammad Farhan, 17, memainkan lagu itu dalam persembahan alat muzik angklong di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Besar, di sini, baru-baru ini.

Katanya, adiknya yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu dan mempunyai masalah pembelajaran adalah pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah berkenaan.

Beliau berkata, Muhammad Farhan, yang sememangnya seorang yang periang berubah pendiam beberapa hari sebelum terbabit kemalangan yang meragut nyawanya, tengah hari semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa, berkata dalam kejadian di Taman Cahaya, Sungai Besar kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam, Muhammad Farhan maut di tempat kejadian, manakala rakannya berusia 19 tahun, yang juga membonceng motosikal berkenaan cedera di bahagian tangan dan kaki.

"Siasatan awal mendapati, motosikal jenis Suzuki LC yang ditunggang mangsa dan rakannya itu datang dari arah pekan Sungai Besar menuju ke sebuah kedai di Taman Cahaya.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai cuba memotong sebuah motosikal di hadapannya, namun gagal lalu terbabas dan melanggar tiang elektrik," katanya.

Katanya, akibat daripada pelanggaran itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya yang cedera dikejarkan ke HTAJ untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.

21 dibaca
Berita Harian X