Isnin, 27 Februari 2017 | 4:23pm

Taklimat, siri jelajah pensijilan MSPO untuk pekebun


MENTERI Sementara bagi Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

SERI KEMBANGAN: Kerajaan akan menganjurkan lebih 100 taklimat dan siri jelajah sehingga tahun depan, bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan 550,000 pekebun kecil sawit mengenai pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata semua kawasan pedalaman di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak akan dilawati bagi tujuan terbabit.

Bercakap kepada pemberita semasa lawatan kerja ke Food Premium Corporation, pengeluar santan sawit di sini hari ini, beliau berkata, kementerian berkenaan merancang untuk meningkatkan jumlah badan pensijilan dengan harga lebih berpatutan untuk pekebun kecil.

MSPO yang akan dijadikan mandatori menjelang Disember 2019, adalah kod undang-undang standard mengenai amalan terbaik seluruh rantaian bekalan, daripada penanaman kelapa sawit hingga ke pemprosesan minyak sawit.

Objektif pensijilan itu adalah untuk membantu akses pasaran minyak sawit yang lebih baik melalui perjanjian perdagangan pelbagai hala atau dua hala dengan pembeli.

"Kami mahu ia dilaksanakan secara berperingkat mulai 2018," kata Mah.

Beliau berkata, Malaysia berhasrat meningkatkan standard dalam kalangan pekebun kecil supaya produk mereka mudah mendapat akses ke pasaran Kesatuan Eropah (EU), pasaran kedua terbesar minyak sawit Malaysia.

Pada 2016, eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit Malaysia ke EU bernilai RM10.30 bilion, naik 4.14 peratus berbanding RM9.89 bilion pada tahun sebelumnya. - BERNAMA

52 dibaca
Berita Harian X