Ahad, 26 Februari 2017 | 11:18pm

Shuib, Siti Sarah bersanding selepas 6 tahun kahwin


SHUIB bersama Siti Sarah pada majlis persandingan sempena sambutan hari perkahwinan mereka yang keenam di Bora Ombak Marina, Putrajaya. - Foto Zunnur Al Shafiq

PUTRAJAYA: Hasrat pasangan selebriti, Shuib dan Siti Sarah Raisuddin, untuk bersanding termakbul apabila mereka diraikan dalam majlis resepsi sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang keenam, malam ini.

Majlis yang berlangsung meriah di sini turut dihadiri ramai rakan artis, antaranya Zizan Razak, Shaheizy Sam, Syatilla Melvin, Zarul Umbrella, Ezad Lazim, Zur Eda, Datuk M Nasir dan Datuk Yusof Haslam.

Siti Sarah yang anggun mengenakan busana berona krim dan perak, manakala Shuib segak mengayakan sut, melangkah seiringan di dalam dewan sehingga ke pelamin yang dihias indah.

Tetamu turut dikejutkan dengan persembahan Shuib menyanyikan lagu buat isterinya berjudul Aku Lelakimu hasil ciptaan komposer Indonesia.


SHUIB menyanyikan lagu buat Siti Sarah berjudul Aku Lelakimu. - Foto Zunnur Al Shafiq

Siti Sarah juga mendendangkan lagu buat suami tercinta yang berjudul Kaulah Segalanya.

Kira-kira 500 tetamu yang hadir memeriahkan majlis bertemakan glamor turut menyaksikan Shuib menyarungkan cincin ke jari manis Siti Sarah.

Dalam nada sebak, Shuib melafazkan kata-kata indah sehingga membuatkan Siti Sarah menitiskan air mata.

Majlis turut diserikan dengan kemunculan Syamel AF mendendangkan lagu My Baby You ketika mengiringi mempelai ke pelamin.

Sukar menuturkan kata-kata melihat kehadiran tetamu yang hadir pada majlis bersejarah mereka, Shuib berkata, beliau sudah lama mereka menyimpan hasrat untuk disatukan sekali lagi dalam majlis indah bagi meraikan kenalan dan keluarga yang tidak dapat direalisasikan enam tahun lalu.

"Syukur alhamdulillah, akhirnya majlis yang saya impikan bagi menghargai isteri saya terlaksana. Apa yang saya lakukan ini untuk dia kerana dapat menerima saya seadanya sehingga ke hari ini.

"Apapun, malam ini bermakna buat kami. Walaupun pada awal perkahwinan kami melalui detik sukar dalam mengharungi mahligai rumah tangga, namun selepas mempunyai tiga cahaya mata kehidupan kami semakin erat dan bertambah bahagia," katanya.

Majlis turut diserikan dengan penampilan rakan artis mendendangkan lagu buat pasangan seperti Mark Adam dan Gmie Screen, selain disajikan dengan tayangan video pernikahan pasangan suami-isteri itu, yang dihasilkan enam tahun lalu.


SHUIB bersama isteri Siti Sarah di majlis persandingan sempena sambutan hari perkahwinan mereka yang keenam. - Foto Zunnur Al Shafiq

140 dibaca
Berita Harian X