Ahad, 26 Februari 2017 | 2:58pm

Pengurus besar kanan dibebas dengan jaminan


Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membawa seorang pengurus besar kanan bahagian sumber manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan selepas Mahkamah Majistret Putrajaya membebaskannya dengan jaminan RM40,000, hari ini. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

PUTRAJAYA: Seorang pengurus besar kanan bahagian sumber manusia sebuah syarikat berkaitan kerajaan, yang disiasat berkaitan kes menyalahguna kedudukan dengan meluluskan peruntukan RM80,000 bagi rawatan kecantikan kulit dan program pelangsingan badan untuk diri sendiri, dibebaskan hari ini.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman membenarkan lelaki berusia 41 tahun itu dibebaskan dengan jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah Majistret di sini sebelum ini membenarkan suspek direman empat hari bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Lelaki itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras, kira-kira jam 11 pagi Rabu lalu.

Sumber sebelum ini memaklumkan, suspek dikatakan mempunyai masalah obesiti dan disyaki menyalahguna kad kredit korporat dibekalkan syarikat kepadanya untuk menjalani satu rawatan yang tiada dalam kontrak faedah. 

Siasatan awal mendapati, suspek mendapatkan rawatan kecantikan kulit dan pelangsingan badan di sebuah klinik dan hospital swasta di Lembah Klang antara Disember 2015 hingga Ogos 2016.

Berita Harian X