Ahad, 26 Februari 2017 | 1:26pm

Mekanik miliki pistol, peluru ditahan

ALOR SETAR: Seorang mekanik berusia 38 tahun ditahan selepas dikesan memiliki sepucuk pistol bersama peluru hidup tanpa lesen sah, Selasa lalu.

Suspek ditahan selepas rumahnya di Kampung Sisik Lantai, Kuala Ketil, dekat sini, diserbu polis sempena Ops Cantas Khas kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata ketika serbuan, pemeriksaan lanjut menemui satu bungkusan plastik dan kain yang mengandungi pistol dan kelopak berisi dua peluru di celah batu di bahagian luar rumah yang ditunjukkan suspek.

Berdasarkan siasatan, katanya suspek yang mempunyai satu rekod berkaitan dadah mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 disahkan berada di bawah pengaruh dadah jenis methamphetamine berdasarkan ujian saringan air kencing yang dijalankan.

"Buat masa sekarang, kita masih menyiasat motif suspek menyimpan pistol jenis semi auto berwarna perak dan berkarat itu, selain peluru hidup .22 berkenaan," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(A) Akta Senjata 1960.

Suspek kini direman hingga Selasa ini untuk membantu siasatan.


KETUA Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff (dua dari kanan) bersama ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk Mohd Nashir Ya (tiga dari kanan) dan pegawainya menunjukkan selaras senapang patah buatan sendiri dan sepucuk pistol yang berjaya dirampas dalam dua kes berasingan di Sik dan Baling pada sidang media di IPK Kedah, Alor Setar. - Foto Sharul Hafiz Zam

Berita Harian X