Ahad, 26 Februari 2017 | 1:17pm

PBT perlu utamakan pembangunan setempat


MENTERI Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (kanan) menjawab soalan media selepas majlis penyerahan Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2017 di Dewan Serbaguna Taman Cendana, Pasir Gudang. - Foto Hairul Anuar Rahim

PASIR GUDANG: Sebanyak 40 peratus hasil diperoleh pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dibelanjakan untuk pembangunan di kawasan terbabit bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan terbaik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sasaran 40 peratus itu dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan kerajaan negeri kepada semua PBT di negeri ini bermula tahun lalu.

Menerusi KPI yang ditetapkan itu, katanya, PBT diminta melaksanakan lebih banyak pembangunan seperti membina dewan serba guna dan kemudahan yang boleh dimanfaatkan masyarakat setempat.

"Kalau duit dapat tetapi semua untuk pengurusan, gaji, perkhidmatan, atasi masalah buang sampah sahaja, tidak akan ada pembangunan.

"Rakyat juga perlu membantu dengan tidak membuang sampah, jangan biarkan longkang tersumbat sehingga kita perlu bayar untuk perkhidmatan. Orang majlis juga mesti produktif, jangan terlalu banyak mandor satu kerja, (duit) habis kepada gaji.

"Itu sebabnya kita buat KPI 40 peratus mesti untuk pembangunan dan perlu memastikan operasi tidak makan belanja yang besar. Itu yang kerajaan negeri buat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2017 anjuran Yayasan Pasir Gudang, di Dewan Taman Cendana, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Mohamed Khaled berkata, beliau percaya menerusi penetapan KPI itu, lebih banyak lagi kemudahan dapat disediakan PBT di kawasan pentadbiran masing-masing, selain kemudahan sedia ada diperbaiki dan diselenggara dengan baik.

Sementara itu, mengulas berhubung program subsidi tambang bas, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang berkata, program kali kedua itu membabitkan peruntukan sebanyak RM99,000 untuk 400 pelajar daripada 287 keluarga.

Menerusi program itu, katanya, pihak yayasan membantu menampung atau menaja sebahagian bayaran pengangkutan pelajar ke sekolah, sekali gus meringankan beban keluarga.

Berita Harian X