Ahad, 26 Februari 2017 | 12:40pm

Dollah puas hati prestasi Tok Gajah


DOLLAH Salleh waktu sesi latihan persiapan menetang Perlawanan Persahabatan Antarabangsa dengan Kemboja pada Sabtu ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUANTAN: Pengendali Pahang, Dollah Sallleh berpuas hati dengan kejayaan meraih tiga mata penuh hasil kemenangan 3-1 ke atas Melaka United (MU) di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Bekas jurulatih kebangsaan itu berkata, kemenangan itu sememangnya aksi terbaik yang dipersembahkan anak buahnya dalam usaha mengukuhkan kedudukan dalam saingan Liga Super.

Namun, katanya kelekaan dan hilang fokus pada minit-minit akhir perlawanan menyaksikan tuan rumah berjaya menjaringkan gol bagi pasukan mereka.

"Bagaimanapun, secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan keputusan ini (malam tadi) dan ia memang terbaik yang kita pamerkan untuk meneruskan rentak cemerlang.

"Tapi pada minit-minit terakhir pemain gagal untuk mengekang asakan tuan rumah dan faktor kecederaan dan pertukaran pemain menyebabkan lawan memperoleh satu gol.

"Pertukaran tiga pemain termasuk penjaga gol menyebabkan rentak permainan berubah dan Melaka United mengambil kesempatan pada minit akhir perlawanan," katanya.

Pada perlawanan itu, tiga gol masing-masing satu dijaringkan Joseph Kalang Tie, Mohamadou Sumareh dan Matheus Alves, manakala gol tunggal MU pula dijaringkan oleh Ahmad Khuzaimi Piee.

Dollah juga terpaksa menggantikan penjaga gol utama, Wan Azraie Wan Teh dengan Helmi Eliza Elias akibat kecederaan termasuk Alves dan Nor Azam Azih.

Kemenangan itu bagaimanapun belum mampu merampas kedudukan Kedah yang mencatat kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang dengan mengutip 14 mata berbanding Pahang (13 mata).

Berita Harian X