Ahad, 26 Februari 2017 | 11:44am

SPRM siasat berdasarkan aduan

PASIR GUDANG: Penahanan beberapa individu dan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Johor bukan dilakukan secara sesuka hati.

Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau percaya ia dilakukan kerana SPRM mempunyai maklumat atau asas yang kukuh.

"Saya percaya SPRM buat apa-apa (siasatan) mesti ia berasaskan aduan.

"Saya tak fikir dia (SPRM) suka-suka bila bangun tidur mana nak 'tembak' orang itu, dia akan pergi cari orang itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah 2017 anjuran Yayasan Pasir Gudang, di Taman Cendana, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Hasrin Kamal Hashim.

Mohamed Khaled mengulas siasatan SPRM mengenai pegawai Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) dan terbaru penahanan enam individu termasuk anak serta pegawai khas seorang pegawai kanan kerajaan negeri berkaitan penyelewengan hartanah di negeri ini.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kes terbabit kepada SPRM.

"Biarlah SPRM siasat," katanya.

Mengulas kemungkinan siasatan dan audit dalaman dijalankan di semua jabatan kerajaan negeri, Mohamed Khaled berkata, tiada tindakan seperti itu dilaksanakan setakat ini dan meminta semua pihak menunggu hasil siasatan.

Berita Harian X