Sabtu, 25 Februari 2017 | 11:14pm

MU rebah di gelanggang sendiri


PEMAIN Pahang, Ashari Samsudin (jersi kuning) menanduk bola ketika menentang Melaka United pada perlawanan Liga Super 2017 di Stadium Hang Jebat malam ini. - Foto BERNAMA

MELAKA: Melaka United (MU) gagal melakukan kejutan ke atas Pahang selepas tewas 3-1 pada saingan Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Tanpa kelibat kapten Ilja Spasojevic, tugas jeneral padang diserahkan kepada pemain kebangsaan Amri Yahyah dengan MU bermula garang menerusi tandukan pemain import Korea, Jeon Woo Young pada minit keempat hasil hantaran R Surendran, namun tinggi melepasi palang pelawat.

Tok Gajah turut memiliki dua peluang mencipta jaringan menerusi import Brazil, Matheus Leandro pada minit ketujuh dan Ashaari Samsudin dua minit kemudian tetapi gagal memecah kebuntuan.

Tidak banyak gerakan menarik dilakukan tuan rumah pada awal permainan, sebaliknya pelawat menerusi Joseph Kalang Tie berada di depan hasil rembatan kencang ke kiri gawang Hang Tuah dan menewaskan penjaga gol, Mohd Fazli Paat pada minit ke- 21.

Peluang terbaik buat skuad Hijau Putih menyamakan kedudukan hadir minit ke-27 tetapi rembatan kencang R Surendran tersasar.

Penguasaan skuad bimbingan jurulatih Dollah Salleh jelas terserlah sepanjang babak pertama selepas Matheus Leandro menanduk masuk gol kedua pada minit ke-43 hasil hantaran kapten Matthew Davies.

Memperoleh sokongan kira- kira 12,000 penyokong, skuad bimbingan Eric Williams mula mengatur gerak memburu jaringan sebaik babak kedua bersambung tetapi tandukan pemain gantian Ahmad Khuzaimi Piee pada minit ke-52 diselamatkan penjaga gol Pahang, Wan Muhammad Azraie.

Kerapuhan benteng MU terus dihukum menerusi tolakan Sumareh Mohamadou untuk gol ketiga Pahang pada minit ke-56 yang menewaskan Fazli Paat di pintu gol.

Giat cuba untuk merapatkan jurang, percubaan Amri minit ke-84 dan 87 tidak berjaya sebelum tolakan Khuzaimi pada minit ke-89 perlawanan menghadiahkan gol sagu hati untuk keputusan muktamad 3-1 memihak kepada Pahang.

Berita Harian X