Sabtu, 25 Februari 2017 | 6:06pm

2 pelajar UMP lemas di Air Terjun Bekelah


SEORANG daripada mayat pelajar UMP yang ditemui lemas ketika mandi di Air Terjun Bekelah, Kuantan. - Foto ihsan Bomba

KUANTAN: Dua penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) lemas ketika berkelah di Air Terjun Bekelah, Gambang dekat sini, tengah hari tadi.

Dalam kejadian jam 1.15 tengah hari mangsa ialah Muhammad Azrul Khairudin, 20, dari Kampung Banggol Peradong Manir, Kuala Terengganu dan Muhammad Zahid Hamidi Mohd Hasan, 20, dari Seri Menanti, Muar, Johor.

Mereka ialah pelajar Tahun 2 Diploma Kejuruteraan Kimia, Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli di kampus Gambang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, berkata kumpulan 13 pelajar UMP itu sedang berkelah sambil mandi-manda di aras satu Air Terjun Berkelah, Gambang, di sini.

"Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa bersama 11 lagi rakan tiba di pusat perkelahan itu sebelum bersepakat untuk mandi beramai-ramai," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kehilangan kedua-dua mangsa disedari rakannya yang mendapati mangsa tidak timbul selepas terjun.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Gambang bersama anggota skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas serta dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang tiba di tempat kejadian menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Mayat Muhamad Azrul ditemui pada jam 3.25 petang diikuti Muhammad Zahid setengah jam kemudian dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat. Kita sudah menghubungi waris keluarga untuk datang membuat pengecaman," katanya.

Abdul Aziz berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Berita Harian X