Sabtu, 25 Februari 2017 | 12:03am

Ezad masih dihantui kesilapan lalu

SEMUANYA hanyalah permainan psikologi, apabila Ezad Lazim menganggap sakit yang dihadapinya berbulan-bulan hingga kehilangan berat badan sebanyak enam kilogram akibat terkena buatan orang.

Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizat Mohd Lazim, 37, berkata beliau pernah menangis dan bercakap sendirian hingga hampir mempercayai perbuatan jahat itu.

"Fikiran saya terlalu runsing ketika itu malah pernah terdetik, mungkin ia perbuatan mereka yang iri hati dengan kejayaan saya. Persaingan dalam industri muzik terlalu sengit, tidak mustahil ada yang cuba mengambil singkat untuk menutup rezeki orang lain.

"Semua yang berlaku itu menjadi peringatan buat diri. Jika benar dianiaya, saya serahkan kepada Allah. Puas juga saya berikhtiar sama ada perubatan moden dan tradisional bagi mengubatinya.

"Alhamdulillah.. kini saya sudah sihat dan bersih daripada najis dadah, selepas menjalani program pemulihan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun yang tamat baru-baru ini," katanya kepada BH Plus.


EZAD tidak menafikan, kesilapan memilih kawan menyebabkan dirinya terjerumus ke lembah hina. - Foto Zunnur Al Shafiq

Tidak malu berkongsi pengalaman

Bekas vokalis kumpulan Exists itu berkata, semua kekalutan berpunca daripada kesilapan lalunya yang pernah terheret dalam gejala tidak sihat, penagihan dadah.

"Saya mengakui pernah bergantung kepada dadah dan episod hitam yang dilalui membawa pelbagai kesan negatif kepada diri serta keluarga.

"Ketika sakit, saya pernah terfikir untuk kembali menagih kerana banyak perkara yang mengganggu. Tetapi, saya cuba bertahan dan sentiasa ingatkan diri supaya kuat melawan perasaan berkenaan.

"Saya berharap perubahan dilaluinya akan berkekalan dan memiliki semangat yang kuat kerana saya tidak mahu terjebak lagi. Pengalaman saya itu dijadikan pengajaran supaya orang lain tidak terjebak dalam permasalahan yang sama," katanya.

Ekoran kesakitan yang ditanggungnya, beliau juga terpaksa membatalkan atau menolak tawaran membuat persembahan kerana ingin berehat.


EZAD pernah menangis dan bercakap sendirian hingga hampir mempercayai perbuatan sakit akibat terkena buatan orang. - Foto Khairul Azhar Ahmad

Jaga pemakanan

Ezad yang kini menghidap 'Gastroesophageal Reflux Disease' atau GERD menuntutnya menjaga pemakanan dan terpaksa mengelak daripada menjamah sajian pedas.

"Saya sedang membiasakan diri dengan rutin baru kerana tidak boleh terlalu lapar atau terlampau kenyang. Saya cuba mengelak daripada lewat menjamah makanan kerana tidak mahu masalah itu berulang," katanya.

Katanya, sepanjang diuji, Ezad mula membataskan pergaulannya dan tidak menafikan, kesilapan memilih kawan menyebabkan dirinya terjerumus ke lembah hina.

"Ketika itu, saya tidak fokus, malah masa depan kerjaya juga diambil sambil lewa. Sepatutnya dengan bakat yang ada, kerjaya saya sudah melangkah jauh tetapi dipersiakan peluang itu.

"Alhamdulillah, saya disedarkan ketika menyertai Gegar Vaganza musim kedua, apabila ramai di luar sana yang menyokong hingga saya kembali bersemangat dan tidak mahu kecundang lagi.

"Sokongan mereka memberi suntikan untuk saya kembali beraksi dan tidak mahu mereka kecewa jika gagal membawa amanah peminat," katanya.


PENYANYI, Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizat Mohd Lazim. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Buktikan kembali bakat

Anak jati Kedah ini berkata, selepas tampil dengan Demi Cinta yang menerima sambutan memberangsangkan, Ezad bakal memperkenalkan single terbaharu, Kuasa Cinta pada April ini.

"Lagu Andai Demi Cinta berkisar mengenai permohonan maaf kepada peminat atas kesalahan lalu. Manakala lagu Kuasa Cinta pula memberi saya kekuatan untuk terus kekal positif," katanya.

PENYANYI, Ezad atau nama sebenarnya, Mohd Rohaizat Mohd Lazim. - Foto Munira Abdul Ghani
Berita Harian X