Jumaat, 24 Februari 2017 | 10:35pm

Lelaki maut motosikal rempuh kerbau


MOHAMAD Zulkifli maut akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor kerbau di Jalan Tok Kah - Jerangau, Dungun, malam ini. - Foto Rosli Ilham

DUNGUN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor kerbau dalam kemalangan di Jalan Tok Kah - Jerangau di sini, malam ini.

Dalam kemalangan kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa Mohamad Zulkifli Ayub, 27, yang tinggal di Kampung Padang Jambu di sini, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketika kejadian mangsa menunggang bersendirian dalam perjalanan pulang dari memancing di Kampung Jerangau ke rumahnya sebelum sekumpulan kerbau tiba-tiba melintas di jalan terbabit menyebabkan mangsa gagal mengelak dan merempuh salah seekor daripada haiwan itu.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, jenazah mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Sementara itu, rakan mangsa, Mohd Shazuan Zailani, 27, berkata, dia bersama seorang lagi rakan menunggang sebuah motosikal lain di belakang Mohamad Zulkifli.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, sekumpulan lapan ekor kerbau secara tiba-tiba keluar dari semak berhampiran dan melintas jalan terbabit.

"Arwah gagal mengelak dan terus merempuh seekor daripada kerbau terbabit sehingga menyebabkan dia melambung. Kami berdua terselamat kerana sempat memberhentikan motosikal sebaik melihat kejadian itu," katanya.

Berita Harian X