Jumaat, 24 Februari 2017 | 9:29pm

Skuad ke Liga Hoki Dunia diketahui Ahad ini


SENARAI akhir 18 pemain yang akan menyarung jersi negara akan diumumkan Ahad ini. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Senarai akhir 18 pemain yang akan menyarung jersi negara di Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL2) di Dhaka, Bangladesh bermula 4 Mac ini, hanya akan diumumkan Ahad ini, umum Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), sebentar tadi.

Badan induk itu dalam kenyataannya, berkata ia susulan aksi akhir final Piala TNB yang berlangsung pada hari terbabit.

Bagaimanapun, MHC mengemas kini senarai terbaru 23 pelatih yang dipanggil menyertai kem latihan skuad kebangsaan pada 12 Februari lalu dengan hanya Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Ab Jalil menjadi satu-satunya pemain yang diserap kali ini.

Kali terakhir penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu mewakili skuad Malaysian Tigers adalah pada separuh akhir WHL 2015 di Belgium.

Pemain dari Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) mendominasi senarai 23 pemain yang dipanggil dengan sembilan pemain termasuk pakar pukulan sudut penaltinya Razie Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor.

TNB juga tidak kurang hebatnya apabila enam pemainnya disenaraikan, diikuti THT (lima), Universiti Kuala Lumpur (dua) dan TNB Thunderbolts (satu).

Hanya satu nama dilihat tercicir daripada skuad kendalian Stephen Van Huizen iaitu pertahanan muda Najib Abu Hassan - diturunkan ke skuad pembangunan - selepas membuat penampilan pertama bersama pasukan senior pada Trofi Juara-Juara Asia 2016 di Kuantan, tahun lalu.

Dalam pada itu, MHC turut membuat kejutan apabila mengecilkan senarai pelatih skuad pembangunan kebangsaan kepada 13 pemain berbanding 18 pemain sebelum ini.

Ia sebagai langkah awal persiapan menghadapi saingan hoki dalam dewan Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur dengan menyaksikan pertahanan KLHC, Kevin Lim turut disenaraikan.

Senarai 23 pelatih skuad hoki kebangsaan:

Sukri Mutalib, Izad Hakimi Jamaluddin, Azri Hassan, Joel Samuel Van Huizen, Meor Muhamad Azuan Hasan, Muhammad Rashid Baharom, Muhammad Haziq Samsul, Razie Rahim, dan Nabil Fiqri bin Mohd Noor (KLHC); S Kumar, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan, Faiz Helmi Jali, Ramadan Rosli, Shahril Saabah dan Nik Aiman Nik Rozemi (TNB); Muhammad Hafizuddin Othman, Mohd Fitri Saari, Firhan Ashaari, Faizal Saari dan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil (THT); Najmi Farizal Jazlan dan Marhan Mohd Jalil (UniKL); Hairi Abdul Rahman (TNB Thunderbolts).

Senarai 13 pelatih skuad pembangunan kebangsaan:

Najib Abu Hassan, Muhammad Firdaus Omar, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Shazril Irwan Nazli, Norsyafiq Sumantri dan Muhammad Amirol Aideed Mohd Arshad (TNB); Baljit Singh Charun Singh, Mohamad Ashran Hamsani, Rafizul Ezry Mustafa dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin (UniKL); Muhamad Zaimi Mat Deris dan Aslam Mohamed Hanafiah (Maybank); Kevin Frederick Lim (KLHC).

Berita Harian X