Jumaat, 24 Februari 2017 | 9:05pm

Aguero belum pasti diturunkan bertemu Pahang


PENYERANG kelahiran Argentina, Sergio Aguero. - Foto Osman Adnan

MELAKA: Melaka United (MU) dijangka masih gagal menurunkan penyerang kelahiran Argentina, Sergio Aguero apabila berdepan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Jurulatih MU, Eric Williams berkata, Aguero dilihat masih belum pulih daripada kecederaan yang menyebabkan pemain terbabit tidak pasti boleh diturunkan ketika melayan kehadiran skuad Tok Gajah nanti.

Katanya, pemain terbabit dijangka diturunkan pada perlawanan berdepan Pulau Pinang Rabu depan.

"Saya enggan mengambil risiko menurunkannya. Apapun semua akan dinilai pada saat akhir menjelang perlawanan, jika tidak pastinya barisan sama berdepan Kelantan akan dikekalkan dan berharap pemain mampu beraksi pada tahap terbaik.

"Walaupun tidak memiliki rehat yang mencukupi berikutan jadual padat, saya yakin mereka mampu untuk bertindak cemerlang seperti mana aksi kemenangan berdepan Kelantan tempoh hari," katanya.

Menurutnya, kelebihan gelanggang sendiri seharusnya digunakan pemain untuk beraksi lebih efektif dalam misi mempertahankan kubu dan mencari jaringan.

Sementara itu, dia bangga dengan persembahan penjaga gol, Mohd Fazli Paat yang beraksi cemerlang tanpa melepaskan sebarang jaringan kepada lawan sejak diturunkan pada tiga perlawanan lalu, termasuk ketika bertemu The Red Warriors.

Justeru, dia mengharapkan barisan pertahanan mampu menyokong Fazli untuk melindungi dan mengawalnya gawang daripada ancaman ledakan penyerang berbahaya Pahang.

Mengenai lawan yang dibimbing Dollah Salleh, Williams berkata, Pahang dianggap pasukan mantap yang memiliki barisan depan yang baik serta barisan tengah yang agresif tetapi pemain Melaka United juga mampu bertindak cemerlang untuk mengejutkan pasukan di tangga kedua carta liga itu.

Berita Harian X