Jumaat, 24 Februari 2017 | 3:27pm

RHB Islamic sasar agih pembiayaan RM50 juta kepada PKS


DARI kiri: Pengarah Eksekutif INSKEN, Norizan Sharif; Pengerusi Exco INSKEN, Datuk Husni Salleh; Adissadikin serta Pengarah Perniagaan dan Perbankan Transaksi Kumpulan RHB Banking, Datin Amy Ooi Swee Lian pada majlis memeterai MoU antara RHB Islamic dan INSKEN di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Sairien Nafis

PETALING JAYA: RHB Islamic Bank Bhd meletakkan sasaran untuk mengagihkan pembiayaan kira-kira RM50 juta tahun ini bagi membantu pembangunan usahawan program TeraS kendalian Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adissadikin Ali, berkata kerjasama dengan TERAJU yang bermula pada 2013 itu, menyaksikan pembiayaan RM200 juta disalurkan kepada usahawan program TeraS setakat akhir tahun lalu, daripada dana berjumlah RM400 juta.

"Dana awalan daripada program TeraS yang diuruskan oleh RHB Islamic adalah RM80 juta. Bagaimanapun, kami dapat meningkatkan dana itu dengan memanfaatkan sumber bank menjadi RM400 juta, iaitu lima kali ganda saiz yang dibenarkan oleh TERAJU," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara RHB Islamic dan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) di sini hari ini.

Adissadikin serta Pengarah Perniagaan dan Perbankan Transaksi Kumpulan RHB Banking, Datin Amy Ooi Swee Lian memeterai perjanjian bagi pihak RHB Islamic manakala INSKEN diwakili Pengerusi Exconya, Datuk Husni Salleh dan Pengarah Eksekutif, Norizan Sharif.

Dana TeraS ditubuhkan bermatlamat untuk menyokong pengembangan perniagaan Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (Teras).

Pembiayaan di bawah Dana TeraS adalah bagi modal kerja dan pembelian aset. Dana itu disediakan oleh TERAJU melalui kerjasama dengan institusi kewangan dan bank.

Buat masa ini, terdapat 1,014 syarikat Bumiputera yang menyertai program TeraS.

Adissadikin berkata segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada masa ini menyumbang kira-kira 20 peratus kepada pendapatan Kumpulan RHB Banking. Separuh daripadanya disumbangkan oleh sayap perbankan Islam.

Mengenai kerjasama dengan INSKEN yang juga unit pembangunan usahawan di bawah TERAJU, beliau berkata MoU itu bermatlamat meningkatkan tahap kemahiran PKS menerusi latihan mengenai aspek perbankan yang perlu difahami oleh usahawan.

Katanya, sebagai institusi kewangan pertama bekerjasama dengan INSKEN, bank mendapat penghormatan untuk memainkan peranan bagi membangun serta meningkatkan kemahiran PKS melalui program pembangunan keusahawanan.

"Malah, kami sudah melaksanakan beberapa siri rangkaian dan sesi klinik di beberapa koridor ekonomi, termasuk Sabah dan Sarawak sebagai sebahagian komitmen capaian bank bagi menyokong TERAJU mencapai matlamatnya," katanya.

INFO

RM 1.19 bilion - Dana TeraS yang diluluskan sehingga September 2016

Berita Harian X