Khamis, 23 Februari 2017 | 7:02pm

Williams gundah jadual padat

JURULATIH Melaka United, Eric Williams. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Jurulatih Melaka United (MU), Eric Williams kurang gembira dengan jadual padat pasukan itu menjelang aksi Liga Super berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, Sabtu ini.

Katanya, berbanding lawan yang beraksi kali terakhir hanya Sabtu lalu bertemu Pulau Pinang, sebaliknya MU terpaksa mengharungi pertemuan berdepan Kelantan kelmarin (Selasa) di Kota Bahru selepas aksi sebelumnya pada Sabtu bertemu Sarawak.

Williams berkata, pemainnya diakui tidak memperoleh rehat yang mencukupi berbanding lawan terutama dalam memastikan tahap kecergasan anak didiknya sentiasa dalam tahap yang cergas.

Saingan MU bertemu TRW sepatutnya berlangsung pada 21 Januari iaitu aksi pembukaan liga di Kota Bahru namun terpaksa di tunda Selasa lalu akibat banjir di venue berkenaan.

Perubahan terbabit menyebabkan jadual padat terpaksa diharungi skuad Hang Tuah sehingga dalam tempoh seminggu terpaksa mengharungi tiga perlawanan.

"Apapun saya mengharapkan pemain terus bersedia berdepan lawan tambahan momentum kemenangan tiga aksi berturut-turut memberi kekuatan motivasi kepada mereka untuk menidakkan saingan Pahang.

"Kami sedar lawan datang dalam keadaan lebih bersedia namun dalam masa sama kami perlu mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri untuk menandingi kesungguhan pelawat," katanya.

Baginya, kemenangan menewaskan TRW 2-0 di gelanggang lawan mampu memberi keyakinan tinggi pemain untuk menutup reputasi gah Pahang di depan penyokong sendiri.

Berita Harian X