Khamis, 23 Februari 2017 | 9:10am

Parlimen Israel larang wanita pakai skirt pendek


Kakitangan Knesset membantah kod pakaian yang melarang skirt pendek di Knesset. - Foto http://www.jta.org

TEL AVIV: Parlimen Israel, Knesset, mengekalkan kod berpakaian yang melarang skirt pendek, namun penguatkuasaan dan sekatan terhadap kakitangan dilakukan secara beransur-ansur.

Keputusan dibuat kelmarin selepas kakitangan di institusi itu mengadakan tunjuk perasaan Disember lalu apabila rakan mereka yang memakai skirt dianggap terlalu pendek dilarang memasuki bangunan berkenaan.

Kakitangan berkata, pengawal keselamatan di Knesset, mula menguatkuasakan peraturan secara ketat mengenai panjang skirt tanpa memberikan alasan. Sebuah jawatankuasa Parlimen dibentuk bagi meneliti isu itu.

"Jawatankuasa bersetuju kod berpakaian akan kekal. Pada masa sama, ia memutuskan untuk mewujudkan mekanisme penguatkuasaan termasuk mengeluarkan amaran sebelum dilarang memasuki bangunan," kata kenyataan Knesset.

Akhbar Haaretz semalam melaporkan, kakitangan akan diberi amaran dua kali mengenai etika pemakaian tidak sesuai dan cuba dilarang memasuki bangunan pada kali ketiga.

"Pemakaian sempurna dan sopan perlu untuk memasuki Knesset. Sesiapa yang mahu memasuki Knesset tidak boleh memakai pakaian yang tidak menunjukkan rasa hormat kepada seperti baju-T, seluar pendek, selipar, skirt pendek dan seluar trek," kata kenyataan. Baju T memaparkan slogan politik juga dilarang.

Haaretz melaporkan, kod tidak menyatakan dengan jelas panjang skirt namun jawatankuasa memutuskan, skirt pendek dilarang sama sekali. - Hindustan Times

52 dibaca
Berita Harian X