Khamis, 23 Februari 2017 | 12:08am

Stigma penghidap HIV golongan berdosa perlu dihapus

ALOR SETAR: Stigma masyarakat yang melabel penghidap HIV sebagai golongan 'berdosa' menyebabkan mereka yang dijangkiti virus itu cenderung mendiskriminasi diri sendiri menyebabkan hidup masing-masing tersisih.

Tidak hairanlah ramai dalam kalangan penghidap HIV dibelenggu kemurungan, sehingga ada yang sanggup mengambil tindakan untuk membunuh diri selepas menyalah anggap bahawa nasib individu yang dijangkiti virus itu sebagai penamat hidup.

Rakan Sokong Bantu adalah antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil mendekati golongan itu di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, terutama dalam menangani emosi serta sikap mereka yang dijangkiti, dengan harapan memberi persepsi baharu yang lebih positif kepada diri penghidap HIV.


PENGHIDAP HIV yang hanya mahu dikenali sebagai Iriz menceritakan pengalamannya terjebak dalam kancah hubungan homoseksual. - Foto Shahrizal Md Noor

Iriz yang turut berperanan sebagai kaunselor Rakan Sokong Bantu, mengakui majoriti pesakit HIV di negara ini masih takut dengan bayang-bayang sendiri kerana beranggapan mereka akan disisih masyarakat.

"Hakikatnya, keadaan ini (dijangkiti HIV) tidak seteruk mana dan tidak perlu sampai mendiskriminasi hidup. Saya percaya punca utama ialah mereka terpengaruh provokasi disiarkan drama tempatan atau maklumat tidak lengkap mengenai penyakit ini.

"Hasilnya, mereka mencipta persepsi sendiri selain perasaan takut membelenggu diri sehingga sanggup berahsia dengan keluarga dan menyisihkan diri daripada masyarakat," katanya.

Iriz yang turut menghidap HIV sejak 2009 mengakui tidak menyalahkan pesakit HIV yang berfikiran sebegitu kerana dia sendiri pernah mempunyai persepsi sedemikian sehingga sanggup merahsiakan keadaan dirinya selama hampir setahun daripada pengetahuan keluarga.

"Dalam kes saya, keluarga hanya mengetahui keadaan diri selepas diberitahu doktor ketika mahu menjalani pembedahan akibat terkena jangkitan kuman di kepala.

"Ketika itu saya fikir keluarga akan buang saya atau tidak mengaku anak seperti yang dipaparkan dalam drama, namun terkejut mereka boleh terima dan menegur perbuatan saya merahsiakan keadaan berkenaan, " katanya.

Hampir tiga tahun berkhidmat sebagai kaunselor, katanya dia juga pernah berdepan seorang pesakit HIV yang hampir membatalkan perkahwinannya selepas mengetahui bahawa dia mempunyai jangkitan berkenaan.


IRIZ yang turut berperanan sebagai kaunselor Rakan Sokong Bantu. - Foto Shahrizal Md Noor

Bagaimanapun, Iriz menerangkan kepada bakal pengantin itu bahawa dia masih boleh berkahwin, asalkan mengambil pendekatan berterus-terang dengan pasangan mengenai keadaan diri sebenar.

"Wanita itu sanggup menerima keadaan pasangannya yang menghidap HIV selepas berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan penerangan lanjut. Ini jelas menunjukkan bahawa masih ada sinar bahagia walaupun ditimpa musibah sedemikian," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Profesional dan Usahawan Negeri Kedah (PEAKS), Dr Zaki Zamani Abdul Rashid, berkata masyarakat seharusnya membuang stigma bahawa semua pesakit HIV adalah 'berdosa'.

Beliau berkata, HIV bukan sahaja dijangkiti akibat hubungan seks rambang atau berkongsi jarum suntikan, malah sebenarnya pesakit berkemungkinan mendapat penyakit ini melalui pendermaan organ atau darah dan bagi bayi pula, mereka boleh memperolehnya daripada ibu.

"Kadangkala ada suami yang melanggan pelacur dan membawa penyakit ini kepada isteri yang kemudian boleh menjangkiti bayi mereka. Ia bermaksud mereka mungkin dapat secara langsung daripada orang lain.

"Masyarakat kena ubah stigma ini kerana tak semua pesakit HIV lahir daripada 'dosa'. Kalau pun mereka pernah berdosa, kita kena bagi peluang kedua kerana dalam perubatan pun kita memang bagi peluang kedua," katanya.

Beliau berkata, dengan kaedah perubatan yang sentiasa ke depan, tahap survival pesakit HIV cukup baik malah jika mereka mengamalkan disiplin dalam pengambilan ubat, mereka mampu hidup secara normal.

"Tahap survival mereka seperti pesakit diabetes jika mereka boleh mencegah kuman dan kawal tahap antibodi dengan adanya perubatan terbaharu," katanya.

INFO

  • Rakan Sokong Bantu antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil mendekati penghidap HIV di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
  • Majoriti pesakit HIV masih takut dengan bayang-bayang sendiri kerana beranggapan mereka akan disisih masyarakat.
  • Masyarakat seharusnya membuang stigma bahawa semua pesakit HIV adalah 'berdosa'.
109 dibaca
Berita Harian X