Khamis, 23 Februari 2017 | 12:04am

Idris tuntut MU terus cipta kemenangan


KETUA Menteri, Datuk Seri Idris Haron. - Foto Rasul Azli Samad

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ir Idris Haron mahu rentak kemenangan Melaka United (MU) ke atas Kelantan 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV , Kota Bahru semalam dikekalkan pada aksi berdepan Pahang Sabtu ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United berkata, kemenangan ketiga berturut-turut termasuk pada pusingan kedua Piala FA mengatasi PKNS FC itu perlu dijadikan azimat buat anak buah jurulatih Eric Williams untuk membenam skuad Tok Gajah pula.

Sambil memuji persembahan MU yang melepasi ujian getir The Red Warriors (TRW) tambahan aksi berlangsung di gelanggang mereka yang memperolehi suntikan padu lebih 10,000 penyokong setia tuan rumah.

"Apa yang pasti kemenangan ke atas Sarawak sebelum berdepan TRW mendorong aksi lebih meyakinkan sepanjang 90 minit di Kota Bahru yang penuh mencabar.

"Malah saya mahukan keputusan ser 1-1 berdepan Selangor dan tewas 3-2 kepada Perak dan T Team (2-1) pada tiga pertemuan awal menjadi pengajaran untuk bangkit seperti dibuktikan pada tiga aksi terakhir setakat ini," katanya.

Gol kemenangan MU bertemu TRW dihasilkan menerusi kapten pasukan, IIija Spasojevic pada minit ke-59 manakala gol kedua oleh pemain gantian, Mohd Fauzi Roslan pada minit ke-90 perlawanan.

Idris berkata, masih ada ruang untuk MU memperbaiki kekurangan dan kelemahan yang ada dalam memastikan perlawanan selepas ini terus memihak kepada skuad Hang Tuah sambil berharap pasukan Hijau Putih mampu mencipta kejutan mengatasi Pahang pada perlawanan di Stadium Hang Jebat.

Berita Harian X