Rabu, 22 Februari 2017 | 9:51pm

Melecur cuba selamatkan dokumen dalam kebakaran


ANGGOTA dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng berusaha mengawal dan memadam kebakaran sebuah rumah di Jalan Pintasan- Pelabuhan. Dalam kejadian lewat petang itu, seorang lelaki yang juga pemilik rumah tersebut, Lee Mun Kong cedera melecur di badan dan tangan dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menerima rawatan. - Foto Ihsan Bomba Pahang

KUANTAN: Seorang lelaki melecur 30 peratus apabila rumahnya di Jalan Pintasan-Pelabuhan Kuantan di sini, musnah dalam kebakaran, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, Lee Mun Kong, 53, yang cedera di badan dan tangan, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dekat sini, dengan bantuan ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata, seramai 13 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan.

"Sebaik tiba, kita mendapati mangsa yang berada seorang diri melecur terkena api," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau berkata, mangsa dipercayai disambar api ketika cuba menyelamatkan dokumen penting dalam rumahnya yang terbakar.

Katanya, mangsa dilaporkan stabil dan masih mendapat rawatan di HTAA.

"Kami mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan hutan berhampiran rumah mangsa.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Berita Harian X