Rabu, 22 Februari 2017 | 9:46pm

Mforce Bike Holdings sah pengedar baharu Benelli


MODEL Benelli TNT 135. - Foto Saddam Yusoff

TEKA-TEKI siapa yang akan menguruskan Benelli di Malaysia akhirnya terjawab selepas Mforce Bike Holdings Sdn Bhd dilantik sebagai jenama motosikal Itali itu mulai 1 Februari.

Pengumuman rasmi itu menamatkan penantian sebahagian besar pemilik motosikal Benelli sedia ada yang pastinya bimbang berhubung isu perkhidmatan selepas jualan selepas pengedar sebelum ini, Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd (BKM) tidak melanjutkan kontrak.

Menerusi pelantikan itu, Mforce Bike Holdings akan memasang, mengedar dan menawarkan perkhidmatan selepas jualan termasuk alat ganti bagi rangkaian produk Benelli di pasaran negara ini.

Pengurus Jualan Nasional Mforce Bike Holdings, Asri Ahmad, berkata syarikat itu bercadang memperkenalkan model baharu bermula April ini.

Katanya, sebagai permulaan model seperti Leoncino 500, 302R dan TRK 502 sedang dinilai syarikat untuk diperkenalkan di Malaysia.

Selain motosikal berkuasa tinggi, beliau berkata, Mforce Bike Holdings akan memperkenalkan buat pertama kalinya model 'moped' Benelli yang menggunakan enjin 150cc baharu dan mematuhi standard euro.

"Model baharu ini dilengkapi ciri utama seperti suntikan bahan api, gear 6 kelajuan dan sistem penyejukan air.

"Enjin ini diuji secara menyeluruh sejauh 20,000 kilometer semestinya mencapai tahap yang diingini oleh pelanggan di Malaysia untuk sebuah super-moped," katanya.

Asri menjelaskan, semua pemilik Benelli akan terus menikmati faedah dan perkhidmatan tambahan yang dibekalkan oleh syarikat.

Sebagai tambahan, katanya, semua Pusat Servis Mforce di Malaysia akan memberikan sokongan perkhidmatan selepas jualan bermula bulan depan kepada semua pemilik motosikal Benelli sedia ada.

"Kami juga menyediakan peruntukan besar untuk promosi produk. Kami sedang merancang pelbagai acara promosi, pameran motosikal dan pemasaran bagi memastikan jenama Benelli lebih diketahui umum di Malaysia," katanya.

Selain jenama Benelli, Mforce Bike Holdings juga adalah pengedar motosikal jenama Taiwan, SYM di Malaysia.

Sebelum pelantikan pengedar baharu Benelli, jenama berkenaan diuruskan oleh Benelli Keeway Motorcycles Sdn Bhd (BKM).

Berita Harian X