Rabu, 22 Februari 2017 | 8:34pm

BSK bantu kes tuntutan nafkah di Selangor


KETUA Hakim Syarie Selangor, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar. - Foto MOHD ASRI SAIFUDDIN MAMAT

SHAH ALAM: Mahkamah Syariah Selangor berjaya menyelesaikan 510 kes tuntutan nafkah antara 2011 hingga 2015, kata Ketua Hakim Syarie negeri, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Mohd Na'im berkata, dalam tempoh lima tahun itu, sebanyak 583 kes membabitkan tuntutan nafkah yang diperintahkan mahkamah, berikutan keengganan pihak suami menjelaskannya kepada bekas isteri dan anak, selepas perceraian.

"Penubuhan Seksyen Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) bertujuan membantu wanita (isteri yang diceraikan) dan anak mendapatkan hak mereka, iaitu nafkah bagi meneruskan kehidupan. Kita akan pastikan bekas suami menjelaskan nafkah yang sepatutnya.

"BSK akan berusaha membantu mendapatkan bekas suami. Jika mereka enggan, aset mereka seperti rumah dan kenderaan boleh disita atau dilelong untuk digunakan membayar nafkah isteri dan anak mereka," katanya pada satu majlis minum petang di Bangunan Kehakiman Syariah Selangor di sini, hari ini.

Mohd Nai'm berkata, masalah kewangan, kurangnya komunikasi dua hala, perasaan dendam serta bekas suami menghilangkan diri, antara punca nafkah kepada bekas isteri dan anak gagal dijelaskan.

"Jadi, kerjasama pihak media dalam usaha menyebarkan maklumat mengenai BSK amat penting kerana masih ramai wanita yang diceraikan tidak mengetahui bagaimana prosedur untuk menuntut nafkah," katanya.

Menurutnya, seramai 80 daripada 168 individu mendapat manfaat tabung BSK antara 2011 hingga 2016, membabitkan dana sebanyak RM307,530.

"BSK menyalurkan dana kepada mereka (isteri yang diceraikan) bagi membantu golongan ini dalam tempoh enam bulan selepas memfailkan tuntutan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 1,837 kes pembubaran perkahwinan didaftarkan sehingga Januari tahun ini.

"Dalam tempoh yang sama, 243 kes difailkan bagi tuntutan fasakh, 632 pengesahan lafaz cerai, 926 tuntutan cerai dan enam kes tebus talak," katanya.

Berita Harian X