Rabu, 22 Februari 2017 | 7:39pm

Atlet Afrika Selatan beri inspirasi positif


MUHAMMAD Azam Masri. - Foto Rasul Azli Samad

KUALA LUMPUR: Pemikiran positif yang ditampilkan atlet di Afrika Selatan memberikan inspirasi kepada pelari acara 400 meter (m) negara, Muhammad Azam Masri untuk beraksi lebih baik, sekali gus membuang sikap cepat puas hati.

Katanya, dia akan menggunakan sebaiknya peluang yang diberikan menjalani latihan di luar negara memandangkan misinya untuk mendapatkan catatan yang lain lebih baik menjelang bermula temasya Sukan SEA Kuala Lumpur membuka tirai.

"Saya berharap dapat berfikir macam atlet di sini (Johannesburg).

"Mereka sentiasa positif dan tidak pernah puas, contohnya kalau sudah berlari di bawah 46 saat (acara 400m), atlet di sini masih anggap ia perkara biasa kerana mereka mahu mencatatkan masa lebih pantas," kata Muhammad Azam yang ketika ini berada di Johannesburg, Afrika Selatan untuk menyertai latihan dan pertandingan di sana.

Mengulas lanjut, Muhammad Azam yang memiliki rekod peribadi terbaik iaitu 46.90s dalam acara 400m menyifatkan keadaan cuaca yang lebih sejuk di benua Afrika membolehkan dia berasa lebih selesa ketika menjalani latihan.

"Saya sudah dapat sesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini (Johannesburg), walaupun agak sejuk tapi lebih selesa untuk berlatih berbanding di Malaysia. Tapi buat masa ini kami lebih memberikan tumpuan kepada teknik-teknik yang perlu dilakukan di atas gelanggang.

"Jadi saya harap dengan kelebihan yang ada, saya dapat memperbaharui rekod peribadi terbaik iaitu 46.90s yang dicatatkan di Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina, April tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, atlet 21 tahun itu memaklumkan pasukan olahraga negara ketika ini turut menjalani latihan bersama bekas pemenang pingat emas 4x100m Kejohanan Dunia, Edmonton, Kanada pada 2001, Morne Nagel.

Untuk rekod, selain Muhammad Azam, 11 lagi atlet turut dipilih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menjalani latihan dan pertandingan di Afrika Selatan sebagai persiapan menghadapi temasya dwitahunan itu.

Mereka adalah pemegang rekod pecut 100 meter (m) kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonanthan Nyepa, Muhammad Haiqal Hanafi, G Aravinn Thevarr dan Rayzam Shah Wan Sofian, manakala atlet wanita adalah Shereen Samson Vellabouy, Zaidatul Husniah Zulkifli, Nurul Faezah Asma Mazlan, S Komalam serta Siti Fatimah Mohamad.

Berita Harian X