Rabu, 22 Februari 2017 | 6:41pm
MOHD Syukri Hamid. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Renang Tasik Bukit Merah demi Orang Utan


MOHD Syukri Hamid melakukan latihan harian di Tasik Bukit Merah sambil diiringi kakitangan Bukit Merah Laketown Resort (BMLR). - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BUKIT MERAH: Seorang kakitangan Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) akan melakukan renangan solo sejauh dua kilometer (km) merentangi Tasik Bukit Merah ke Pulau Orang Utan pada Sabtu ini bagi mengumpul dana membantu Yayasan Pulau Orang Utan.

Pengurus taman tema air BMLR, Mohd Syukri Hamid, 44, berkata renangan berkenaan bertujuan mengajak orang ramai untuk terus membantu yayasan itu dalam usaha mengekalkan populasi Orang Utan yang kini diancam kepupusan.

"Sejak berkhidmat sebagai pengurus di taman tema di sini dan berpengalaman sebagai pengawal pantai selama 20 tahun, saya yakin berupaya melakukannya, sekali gus dapat mengabdikan nama di sini.

"Selain mengumpul dana, renangan solo ini turut bertujuan mempromosi BMLR sempena Tahun Melawat Perak 2017 tahun ini.

"Saya ingin membuktikan kakitangan BMLR mengamalkan budaya hidup sihat dengan bersukan, aktif dan cergas," katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Mohd Syukri berkata, ia boleh dianggap acara pembukaan sebelum kutipan dana sebenar menerusi acara renang terbuka di tasik sama membabitkan lebih 30 peserta termasuk duta program renang terbuka popular, `Ocean Man', Jose Luis Larrosa, 5 Mac ini.

"Saya melakukan latihan fizikal dan mental setiap hari dengan berenang sejauh lima kilometer di kolam taman tema air BMLR serta Tasik Bukit Merah sebagai persediaan fizikal," katanya.

Berita Harian X