Rabu, 22 Februari 2017 | 1:25pm

3 ditahan, 90kg syabu RM6.3juta dirampas


DATUK Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff (tengah) bersama Chayapoj Hasunaha (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas di Changlun dan Padang Besar ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK), Jalan Stadium. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran syabu selepas menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan di Changlun di sini, dan Padang Besar, Perlis, Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dalam serbuan jam 4.50 petang itu, polis turut merampas 90 kilogram (kg) syabu bernilai RM6.3 juta serta wang tunai dan barang kemas berjumlah RM30,000.

Katanya, kejayaan ini susulan perkongsian maklumat dengan Biro Pencegahan dan Kawalan Narkotik (NSB), Polis Diraja Thailand yang membawa kepada penahanan tiga suspek masing-masing memandu kereta Honda Civic, Honda City dan Nissan Grand Livina.

 

"Pemeriksaan rapi dalam semua kereta suspek berusia antara 25 hingga 37 tahun yang baru sahaja masuk ke negara ini melalui pintu masuk sempadan menemui dadah yang dibungkus rapi dalam papan pemuka.

 

"Siasatan awal, sindiket yang baru aktif kurang seminggu memperoleh dadah terbabit dari Segi Tiga Emas untuk diedarkan di pasaran Malaysia dan Indonesia yang mampu menampung keperluan 450,000 penagih," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Komander Divisyen Risikan NSB, Mejar Jeneral Chayapoj Hasunaha.

 

Mohd Mokhtar berkata seorang daripada suspek dikehendaki polis Perak dan seorang lagi positif dadah.

 

"Siasatan yang dilakukan juga, kami yakin beberapa lagi rakan suspek akan ditahan dalam tempoh terdekat.

 

"Semua suspek kini direman sehingga Isnin minggu depan mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

 

Berita Harian X