Rabu, 22 Februari 2017 | 8:56am

Wanita mati ditembak tiada kaitan kongsi gelap


Keadaan tempat kes tembak yang berlaku di Jalan Pekaka, Bukit Gambir, Pulau Pinang, semalam. - Foto ihsan Pembaca

GEORGETOWN: Polis mengesahkan wanita yang mati ditembak di Jalan Bukit Gambir, berdekatan Taman Pekaka, di sini, petang semalam, tiada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata polis masih meneruskan siasatan dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi.

"Setakat ini, polis masih meneruskan siasatan untuk mengetahui motif kejadian dan kita juga menolak dakwaan yang mengatakan mangsa adalah isteri kepada seorang lelaki bergelar Datuk Seri.

"Saya ingin menegaskan dan meminta kerjasama semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang mengelirukan orang ramai sehingga siasatan polis selesai," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 6 petang semalam, mangsa dikenali Ruby Lee Poh Ai, 49, mati di lokasi kejadian selepas terkena sekurang-kurangnya 10 das tembakan dengan kesan tembakan yang terkena di kepala dan badan mangsa.

Menurut siasatan awal polis, mangsa ketika itu memandu kenderaan jenis BMW berwarna putih dan dihampiri oleh suspek di sisi bahagian pemandu sebelum tembakan dilepaskan dari jarak dekat.

Berita Harian X