Rabu, 22 Februari 2017 | 12:02am

Dakwah jalanan popular di Valledupar

SUATU perkara menarik mengenai perkembangan dakwah di Colombia ialah pembabitan warga Latino sendiri menjalankan kerja dakwah melalui pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat bantuan moral dan material daripada rakan seagama dari seluruh dunia.

Peranan warga Muslim Colombia yang kebanyakannya saudara baharu memeluk Islam atas kerelaan sendiri dibantu oleh warga Arab, India dan Asia Tenggara telah memberi laluan mudah kepada perkembangan Islam di negara itu.

Terminologi Street Dakwah umpamanya, kini menjadi mainan di bibir sukarelawan Muslim yang sering menganjurkan sesi taklimat secara terbuka di beberapa bandar di Colombia. Mereka menjalankan kerja mulia itu di pekarangan premis awam, sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Semuanya kerana menyahut seruan Nabi Muhammad SWT seperti yang diungkapkan dalam khutbah terakhir Baginda di Lembah Uranah, Gunung Arafah, pada 9 Zulhijah tahun 10 Hijrah, "Hendaklah orang yang mendengar ucapanku ini menyampaikannya kepada orang lain dan hendaklah orang lain itu menyampaikannya kepada orang lain dan begitu seterusnya. Semoga orang yang terakhir menerimanya lebih memahami kata-kataku ini daripada mereka yang mendengar terus daripadaku. Saksikanlah ya Allah, bahawasanya aku telah sampaikan risalahMu kepada hambaMu."


USAHA tangkis persepsi negatif mengenai Islam di Colombia.

Seperti biasa, jihad dakwah ada halangan dan cabaran. Begitulah yang dihadapi sukarelawan Muslim di sana yang terpaksa berdepan persepsi negatif sesetengah pihak yang mengaitkan Islam dengan keganasan. Hal ini diakui oleh warga Malaysia yang menetap di Bogota, Mohamad Sabri Mat.

Islam dan keganasan

Melalui emel yang dihantar kepada rakan pendakwah dari Ipoh yang menemui dan bersama beliau semasa berada di Bogota, anak kelahiran Taiping itu melahirkan kegelisahan mengenai pertanyaan daripada warga Colombia berkaitan isu itu yang semakin meningkat.

"Jenuh saya hendak menjawab persoalan ini, namun apa yang dapat saya lakukan ialah mempamer akhlak terpuji serta bergaul mesra dengan bukan Islam. Apabila prestasi kerja kita bagus dan hubungan mesra dijaga, maka mereka menganggap kita sebahagian daripada mereka dan tiada syak wasangka," katanya.

Tambah beliau yang bertugas sebagai perunding teknologi maklumat di syarikat antarabangsa, persepsi negatif itu diburukkan lagi oleh tindakan keganasan yang ditimbulkan pengganas yang bergerak atas nama IS atau Daesh.

Sementara itu, sukarelawan yang juga usahawan di Valledupar, Saidah Paola Duque, turut mengalami situasi sama apabila sering dilontarkan soalan berkaitan Islam dan pengganas, tetapi dirinya sudah bersedia dengan jawapan untuk menjelaskan kedudukan sebenar.

"Saya menjawab soalan ini dengan mengutarakan persoalan juga. Kita orang Colombia sering dikaitkan dengan istilah Latin `narcotraficante' atau pengedar dadah. Adakah semua orang Colombia itu pengedar dadah?

"Jawapan mereka tentulah tidak semua orang Colombia itu pengedar dadah dan tidak adil jika orang ada persepsi sedemikian. Maka saya katakan, tidak semua orang Islam itu pengganas dan tidak adil mengaitkan semua orang Islam itu sebagai pengganas," katanya.

Tiada rehat

Sebenarnya, kumpulan pendakwah Malaysia sering berdepan dugaan kerana kunjungan ke seluruh pelusuk dunia sering berdepan insiden mendebarkan. Kerap mereka ditahan untuk soal siasat tetapi Alhamdulillah, selalunya pihak imigresen negara berkenaan berpuas hati dengan penjelasan diberi. Tambahan, nama Malaysia memang terkenal di persada antarabangsa


AHLI NGO Al-Faruq Dakwah Group memberi penerangan di jalanan mengenai agama Islam.

Mengimbau pengalaman berdakwah di Valledupar, destinasi terakhir pendakwah dari Ipoh di Colombia, mereka sempat menjalin silaturahim dengan sukarelawan NGO Al-Faruq Dakwah Group yang berkunjung ke Masjid Abu Bakr Valledupar ketika mereka beriktikaf di rumah Allah itu.

Selain berusaha dengan memberi tumpuan kepada warga Muslim sedia ada supaya memperkuatkan ukhuwah dan keyakinan kepada Islam, rombongan Malaysia turut membantu Al-Faruq Dakwah Group melakukan Street Dakwah.

Hasil kerjasama ini sangat menarik kerana setiap hari dua atau tiga orang yang berkunjung ke Masjid Abu Bakr Valledupar mengucapkan syahadah.

Ketua rombongan, Abdul Rahman berkata, kesungguhan ditunjukkan sukarelawan Muslim sangat menakjubkan. Mereka juga perlu berkongsi semangat sukarelawan dalam memperkasa saudara baru dengan asas kerja dakwah serta berjumpa golongan bukan Islam yang berminat mengetahui mengenai agama suci ini.

Justeru, tiada istilah rehat bagi pendakwah sepanjang berada di Valledupar dan satu lagi fakta menarik ialah Muslimah adalah pelopor dan penggiat dakwah paling aktif kerana golongan Hawa itu juga memerlukan bimbingan serta bantuan daripada Muslim seluruh dunia.

Dakwah berterusan

Melihat kepada situasi itu, adalah disarankan pendakwah wanita dari seluruh negara termasuk Malaysia melakukan misi dakwah ke Valledupar bagi membantu Muslimah di sana serta memberi semangat supaya mereka tidak berasa terpencil.


AHLI NGO Al-Faruq Dakwah Group memberi penerangan di jalanan mengenai agama Islam.

Muslim di sana juga memerlukan bantuan dari segi material dan sokongan kewangan kerana kebanyakan mereka tidak berkemampuan.

Bantuan daripada saudara Islam lain sekurang-kurangnya dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk terus mendalami ajaran agama.

Mengenang kembali usaha dakwah ke negara terkenal dengan kisah kartel dadah itu, banyak persoalan timbul yang ada antara jawapannya memang diketahui dan ada juga yang diselitkan harapan supaya Allah SWT memberi pertolongan-Nya kepada saudara Islam di sana.

Ini kerana berdasarkan maklum balas diterima daripada sahabat di Colombia, ada juga saudara yang sudah Islam, tetapi masih mengamalkan cara hidup lama dan tiada kemajuan dalam menghayati ajaran agama yang dianuti ini.

Sudah tentu perasaan sedih dan kecewa itu ada, tetapi apalah daya dan kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana misi pendakwah serta sukarelawan Islam di sana sangat kecil bilangannya, sedangkan masyarakat di sana berdepan pengaruh bertentangan Islam yang kuat.

Bumi Colombia sentiasa menanti kehadiran pendakwah daripada saudara Islam seluruh dunia untuk membantu mereka menjalani kehidupan sebagai seorang Islam yang mematuhi serta memahami ajaran Islam sebenar. Semoga usaha itu dapat diteruskan dan lebih ramai mampu ke medan dakwah di Colombia.


AHLI NGO Al-Faruq Dakwah Group memberi penerangan di jalanan mengenai agama Islam.

INFO
Dakwah jalanan

  • Juga dikenali sebagai Street Dakwah adalah aktiviti dakwah dilakukan di kawasan ramai khalayak.
  • Aktiviti itu sudah dilakukan Rasulullah SAW dan sahabat dengan menyampaikan dakwah depan Kaabah selain menyantuni masyarakat di jalanan.
  • Pendekatan dakwah jalanan di Malaysia telah dijalankan sejak 2011 oleh NGO.

INFO
Valledupar

  • Ibu kota Wilayah Cesar terletak di timur laut Colombia.
  • Nama Valle de Upar atau Lembah Upar sebagai penghormatan kepada pemimpin politik Amerindian yang memerintah lembah itu.
  • Bandar ini terletak di antara pergunungan Sierra Nevada de Santa Marta dan Serrania del Perija ke sempadan Guatapuri dan Sungai Cesar.
  • Ia adalah pusat pertanian, penternakan lembu, perlombongan arang batu dan agro-industri penting di Cesar dan La Guajira.
  • Terkenal sebagai pusat muzik vallenato dan Valledupar menjadi tuan rumah Vallenato Legend Festival.
  • Menempatkan salah satu penjara moden dengan keselamatan maksimum di Colombia.
Berita Harian X