Selasa, 21 Februari 2017 | 10:38pm

Untung sebelum cukai Pharmaniaga susut

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Pharmaniaga Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016 menyusut kepada RM72.02 juta berbanding RM112.72 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Syarikat farmaseutikal itu berkata, prestasi kurang memberangsangkan itu disebabkan terutamanya oleh kurang pesanan daripada perniagaan konsesi serta kos pembiayaan, penjualan dan pengedaran yang tinggi.

Sepanjang tahun kewangan dalam kajian, kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM2.2 bilion, konsisten dengan tahun sebelumnya, katanya kepada Bursa Malaysia, hari ini.

Bagi suku keempat, keuntungan sebelum cukai menyusut kepada RM4.07 juta berbanding RM23.72 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2015, berikutan pendapatan yang rendah dan kos pembiayaan yang tinggi.

Begitu juga, pendapatannya merosot kepada RM582.82 juta berbanding RM680.15 juta pada tahun sebelumnya akibat pesanan yang berkurangan daripada perniagaan konsesi walaupun peningkatan sumbangan daripada operasi kumpulan di Indonesia dan perniagaan sektor swasta.

Pengerusinya, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dalam satu kenyataan berkata, kumpulan farmaseutikal itu menjangkakan sektor penjagaan kesihatan akan terus menawarkan prospek yang baik di Malaysia, disokong oleh inisiatif kerajaan.

"Pharmaniaga bersedia untuk menembusi peluang ini," katanya, sambil menambah syarikat akan tetap menumpukan kepada usaha memperkukuhkan kewujudannya di peringkat antarabangsa kerana operasinya di Indonesia mencatatkan pertumbuhan yang baik. - BERNAMA

Berita Harian X