Selasa, 21 Februari 2017 | 6:22pm

Cemas anak terperangkap dalam kereta


ANGGOTA BOMBA dalam usaha mengeluarkan kanak-kanak yang terperangkap dalam kenderaan.

IPOH: Seorang wanita cemas apabila anak perempuannya berusia dua tahun terperangkap di dalam kenderaan miliknya kira-kira 15 minit di Taman Meru Raya di sini, tengah hari tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Aznan Harun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 12.54 tengah hari.

"Apabila kami sampai di tempat kejadian, didapati terdapat seorang kanak-kanak perempuan terperangkap di dalam kereta jenis Honda City.

"Kanak-kanak itu dipercayai bermain di dalam kereta yang enjinnya dihidupkan dan diletakkan di tepi kedai sebelum kanak-kanak itu dikatakan terkunci dari bahagian dalam kereta dan menyebabkan ibunya gagal membuka pintu dari luar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, orang ramai cuba membantu membuka pintu namun gagal sebelum mereka membuat panggilan kecemasan.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa lima minit untuk membuka pintu itu menggunakan peralatan khas. Kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan tanpa sebarang kecederaan.

Aznan berkata, operasi itu tamat pada jam 1.07 tengah hari.


KANAK-KANAK berusia dua tahun terperangkap di dalam kenderaan milik ibunya.

15 dibaca
Berita Harian X