Selasa, 21 Februari 2017 | 1:37pm

Murid dibantu pakaian sekolah


PEMBANTU Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Zakaria Edris (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan pakaian seragam kepada murid di Sekolah Kebangsaan Gum-Gum Kecil, Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

SANDAKAN: Seramai 266,160 murid daripada 1,072 sekolah rendah di seluruh Sabah menerima bantuan pakaian seragam, kasut dan alat tulis menerusi Program Perkhidmatan Sosial kerajaan negeri membabitkan kos RM10.1 juta, pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, daerah ini mencatatkan seramai 26,765 penerima daripada 66 sekolah dengan kos perbelanjaan sebanyak RM1.08 juta.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Zakaria Edris, berkata kerajaan sentiasa prihatin dan mengambil berat nasib dialami oleh golongan kurang berkemampuan.

Katanya, kerajaan sedar ada ibu bapa tidak mampu menyediakan keperluan sekolah anak-anak mereka dan terpaksa menanggung beban tinggi berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Ia tidak boleh dijadikan alasan kepada ibu bapa untuk mengabaikan pendidikan anak-anak. Pendidikan adalah tiket penting dalam mengubah kehidupan, sekali gus membuka peluang lebih cerah pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Lawatan Pemantauan Bantuan Pakaian Seragam dan Kasut di Sekolah Kebangsaan Gum-Gum Kecil, dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, Zakaria yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gum-Gum menyampaikan bantuan pakaian seragam dan kasut kepada seramai 50 murid.

Selain SK Gum-Gum, Zakaria turut menyampaikan pakaian seragam kepada seramai 227 murid dan bantuan awal persekolahan kepada 119 murid di SK Seri Manis, di sini.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Zakaria Edris (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan pakaian seragam kepada murid di Sekolah Kebangsaan Gum-Gum Kecil, Sandakan. Gambar Poliana Ronnie Sidom

14 dibaca
Berita Harian X