Selasa, 21 Februari 2017 | 11:11am

Bekas KSU KKLW, anak lelaki dituduh rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anak lelakinya masing-masing mengaku tidak bersalah bersubahat dan menerima rasuah berjumlah RM550,000 di Mahkamah Sesyen pagi tadi.

Pertuduhan rasuah itu adalah membabitkan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Untuk Sistem Solar Hibrid di empat buah pulau terpencil di Sandakan Sabah secara rundingan terus bernilai RM57 juta kepada syarikat Eramaz (M) Sdn Bhd.

Mengikut pertuduhan, Mohd Arif didakwa bersubahat, manakala anak lelakinya, Ahmad Zukhairi, dituduh menerima suapan wang tunai RM550,000 daripada pengarah syarikat Wazlina Sdn Bhd, Mohd Safian Mohd Salleh.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk Mohd Arif dan Ahmad Zukhairi melakukan transaksi membabitkan kementerian itu.

Pertuduhan ke atas kedua-duanya dilakukan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28(1)(c) akta sama.

Mereka boleh dihukum mengikut Seskyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda jumlah suapan.


KSU Kementerian Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman bersama anaknya hadir di Mahkamah KL atas pertuduhan rasuah. - Foto NSTP/Yazit Razali

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, di sini antara jam 4 petang dan 7 petang 23 Ogos tahun lalu.

Hakim Azura Alwi membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin masing-masing sebanyak RM200,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A S Thangavelu manakala kedua-dua tertuduh diwakili sepasukan peguam diketuai Datuk Salehuddin Saidin.

Berita Harian X