Selasa, 21 Februari 2017 | 12:12am

Makanan berlemak

PANDUAN pemakanan sihat mencadangkan individu dewasa yang sihat tubuh badan mengehadkan pengambilan lemak antara 20 peratus hingga 35 peratus daripada jumlah kalori yang diambil setiap hari.

Secara purata, pengambilan kalori bagi individu dewasa adalah sekitar 1,500 kalori hingga 2,000 kalori sehari. Daripada jumlah itu, 400 kalori hingga 700 kalori boleh diambil daripada sumber makanan yang mengandungi lemak, yang mana nilainya adalah sekitar 44 gram hingga 78 gram lemak sehari.

Dengan mengetahui jumlah lemak yang diambil sehari, ia dapat membantu mengawal jumlah lemak dan kalori dalam diet sekali gus membantu mendapatkan tubuh yang sihat dan bebas daripada masalah obesiti.

Contoh pengiraan ringkas untuk mengetahui jumlah lemak dalam makanan yang diambil adalah bagi setiap sembilan kalori yang diambil, ia bersamaan dengan satu gram lemak.

Aiskrim

Siapa yang mampu menolak 'godaan' untuk menikmati aiskrim dengan keadaan cuaca di Malaysia yang panas, namun perlu diingat, aiskrim mengandungi lemak, gula dan kalori yang tinggi. Dua sudu aiskrim sudah mengandungi 380 kalori bersamaan dengan 42.2 gram lemak.

Roti Canai

Mudah disediakan, mudah didapati dan harganya murah. Namun, sekeping roti canai mengandungi 300 kalori dan selalunya kita akan makan dua keping, menjadikan jumlah kalori yang diambil adalah 600 kalori atau 66 gram lemak. Anda perlu berlari di atas mesin senaman selama 90 minit untuk membakar kalori itu.

Roti Manis Dan Donat

Roti manis seperti roti krim dan coklat sememangnya tinggi dengan kandungan lemak dan karbohidrat. Seketul donat mengandungi sehingga 200 kalori bersamaan dengan 22.2 gram lemak.

Susu Pekat Manis

Susu penuh krim ini sememangnya kurang elok untuk kesihatan badan kerana ia mempunyai kandungan lemak yang tinggi. Walaupun ia mempunyai sumber kalsium, adalah dinasihatkan supaya kita menggantikannya dengan susu yang lebih rendah lemak. Sesudu susu pekat manis mengandungi 60 kalori. Bayangkan segelas teh tarik yang menggunakan tiga hingga empat sudu? Jumlah lemak bagi satu sudu susu pekat manis adalah 6.67 gram.

Mi Kari

Selalunya hidangan mi kari menggunakan santan dan ia mengandungi lebih kurang 500 kalori. Satu hidangan mi kari lengkap mengandungi 55.5 gram lemak.

Burger

Burger mempunyai nilai kalori yang tinggi kerana ia mengandungi daging kisar yang tinggi dengan nilai lemak. Satu hidangan burger biasanya melebihi 475 kalori. Itu belum ditambah dengan keju, sos cili, mayonis dan telur. Anggaran jumlah lemak dalam sebiji burger adalah 52.7 gram.

Nasi Lemak


Food review on Nasi Lemak Antarabangsa[FOTO Brian Moh /BH]

Hidangan ini begitu sinonim dengan rakyat negara ini. Setiap hidangan asas yang mengandungi karbohidrat, protein dan lemak mengandungi lebih kurang 390 kalori, tidak termasuk sambal, telur rebus, ikan bilis dan kacang.

Secara purata, hidangan lengkap yang mengandungi ayam goreng atau sambal sotong adalah sekitar 500 kalori. Ini bermakna, jumlah lemak yang ada dalam setiap hidangan lengkap adalah 55 gram.

Mayonis

Suku cawan mayonis mengandungi 360 kalori atau 40 gram lemak.

Berita Harian X