Isnin, 20 Februari 2017 | 6:49pm

Aksi Malaysia-Korea Utara di Pyongyang: FAM tunggu jawapan AFC


SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) ketika menjawab pertanyaan media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-11 bagi 2014-2017 di Wisma FAM. - Foto BERNAMA

KELANA JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang menunggu pengesahan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berkenaan status perlawanan antara Harimau Malaysia dengan Korea Utara yang dijadualkan berlangsung di Pyongyang, 28 Mac ini. 

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pihaknya sentiasa berhubung dengan AFC mengenai perkembangan perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 itu. 

"Setakat ini tiada apa-apa perkembangan mengenai perlawanan itu dan kalau FAM rasa tidak selamat untuk beraksi di sana, kita akan berhubung dengan AFC. 

"AFC akan membuat keputusan sama ada perlawanan itu akan berlangsung di gelanggang berkecuali atau ditangguhkan," katanya pada sidang media di Wisma FAM di sini, sebentar tadi. 

Kebimbangan tahap keselamatan pasukan negara timbul selepas kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un iaitu Kim Jong-nam di klia 2, pada 13 Februari lalu.  

Kementerian Luar hari ini mengesahkan Duta Besar Malaysia di Pyongyang, Mohamad Nizan Mohamad dipanggil pulang ke negara ini untuk proses rundingan. 

Kementerian Luar dalam satu kenyataannya berkata, Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol turut dipanggil bertemu dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala kementerian, Raja Nushirwan Zainal Abidin, hari ini. 

Harimau Malaysia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Korea Utara, Hong Kong dan Lubnan.

Berita Harian X