Isnin, 20 Februari 2017 | 4:01pm
PELAKON, Mira Filzah.

Mira Filzah hos Mahligai Cinta musim baharu

KUALA LUMPUR: Pelakon, Mira Filzah, terus mengasah bakatnya di bidang pengacaraan apabila diberikan peluang mengendalikan program Mahligai Cinta musim ke-10.

Sebelum ini, bintang yang meledak dengan drama Cinta Si Wedding Planner itu pernah mengacarakan rancangan realiti nyanyian, 3 Juara, dan malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-29, tahun lalu.

Selain Mira, antara personaliti lain yang terlebih dulu diangkat sebagai hos rancangan berkonsepkan perkahwinan itu ialah pelakon, Izreen Azminda, dan juara Clever Girl musim pertama, Fatin Nuraisya Hanipha.

"Tidak saya nafikan, program berkonsepkan sebegini seperti makanan untuk saya. Hakikatnya, saya lebih selesa mengacarakan program seperti Mahligai Cinta berbanding rancangan terdahulu, iaitu 3 Juara," katanya ketika dihubungi BH Online.

Artis Baharu Wanita Popular ABPBH 29 ini berkata, sehingga kini sebanyak tiga episod program terbabit sudah pun siap dirakam.

"Sebanyak 13 episod bakal disiapkan bagi musim terbaru ini. Sepatutnya, dalam masa seminggu saya perlu menyelesaikan dua episod, namun berikutan komitmen pada kerja lakonan, saya dan produksi saling perlu bertolak ansur. Mujurlah pihak penerbitan cukup memahami," katanya.

Ketika ini, Mira berada di Pulau Langkawi, Kedah, bagi menjalani penggambaran telefilem, Jula Juli Bintang Cinta, arahan Osman Ali.

Gadis yang akan genap 24 tahun pada April depan ini juga begitu teruja apabila drama, Meh Sandarkan Pada Aku, yang menggandingkannya dengan Aliff Aziz, akan mula menemui peminat pada hujung minggu ini.

"Selain berlakon, saya turut menyanyikan lagu tema drama ini berjudul Sandar Padaku, bersama-sama Aliff. Lagu ini juga sudah mula diputarkan di radio," katanya.

Berita Harian X