Isnin, 20 Februari 2017 | 3:58pm
PELUMBA trek wanita negara, Fatehah Mustapa.

Fatehah yakin raih emas Sukan SEA KL

KUALA LUMPUR: Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa yakin tidak menghadapi masalah meraih pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-29 di sini, Ogos depan.

Fatehah, 27, dijangka menyertai tiga acara iaitu keirin, pecut dan pecut berpasukan bersama Farina Shawati Mohd Adnan.

"Fokus saya sekarang adalah tiga acara tersebut, namun jika acara 500 meter ujian masa disenaraikan pada pada Sukan SEA nanti, saya akan masuk juga. Rasanya saya tidak mempunyai masalah bersaing dengan pelumba ASEAN berbanding pelumba Asia.

"Tetapi saya tidak boleh terlalu yakin, masih kena buat latihan intensif agar kemenangan berpihak kepada saya. Saya harap rakan sepelatih Farina pun dapat keyakinan yang sama," katanya.

Mengulas kegagalannya melayakkan diri ke Kejohanan Dunia musim ini, Fatehah mengakui kecewa susulan tidak dapat bersama rakan sepasukannya, Azizulhasni Awang dan Muhd Shah Firdaus Sahrom berjuang di kejohanan tersebut.

Namun, pelumba kelahiran Terengganu itu berkata dia harus kekal positif dan berusaha lebih keras untuk memastikan prestasi lebih baik dapat dicapai pada musim ini dan tahun depan.

Fatehah yang sebelum ini pernah menyertai Kejohanan Dunia sebanyak empat kali, berkata dia gagal mengumpul mata mencukupi untuk menempah slot bagi acara keirin dan pecut tahun ini.

"Saya rasa mata saya masih belum cukup untuk layak dalam acara keirin dan pecut. Jadi saya kena berlatih untuk Piala Dunia dan Kejohanan Dunia seterusnya.

"Sebelum Sukan SEA bermula, memang saya tiada sebarang kejohanan yang akan disertai. Hanya fokus kepada program latihan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X